fbpx

Kerajaan perlu selaraskan SOP endemik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ORANG ramai sedang menunggu untuk menaiki bas pulang ke kampung halaman di Hentian Bas Jalan Duta, Kuala Lumpur kelmarin. -MUHAMAD IQBAL ROSLI

GEORGE TOWN – Penggiat industri pelancongan di negeri ini memohon kerajaan Pusat segera mengumumkan kepada pihak industri mengenai prosedur operasi standard (SOP) bagi operasi perhotelan ketika negara berada dalam fasa endemik bagi mengelakkan berlaku kekeliruan dalam kalangan rakyat.

Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Pulau Pinang, K. Raj Kumar berkata, pihaknya juga berharap SOP bagi fasa endemik itu lebih mudah difahami dan hanya dikeluarkan oleh satu pihak agar tidak berlaku pertindihan arahan melibatkan SOP.

“Sebagai contoh, ketika fasa pandemik Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan keluarkan SOP dan selepas itu ada agensi lain seperti Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) juga akan keluarkan SOP kepada penggiat industri perhotelan.

“SOP daripada pelbagai agensi menyebabkan kami keliru, jadi kami mohon agar SOP fasa endemik ini segera diumumkan agar kami dapat bersedia dan hanya dikeluarkan oleh satu agensi sahaja seperti MKN,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri ­Hishammuddin Hussein berkata, kerajaan akan mengurangkan jumlah SOP sebanyak 94.5 peratus bagi memudahkan pemahaman dalam kalangan masyarakat.

Pengurangan jumlah SOP daripada 181 ketika ini dijangka dapat dimuktamadkan dengan mengambil kira faktor tertentu selari peralihan negara ke fasa endemik, menjelang penghujung Oktober ini.

Menurutnya, SOP ketika fasa endemik itu juga diharap dapat diringkaskan dengan keselamatan awam menjadi keutamaan semua pihak.

“Kita bersetuju bahawa SOP seperti memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal satu meter antara satu sama lain perlu dikekalkan bagi mengelak penularan Covid-19.

“Bagaimanapun, SOP bagi pekerja yang menjalani kuarantin dan kontak rapat perlu dikaji semula ketika fasa endemik.

“Sebagai contoh, jika seorang penyambut tetamu di hotel ter­kena wabak ini, takkan kesemua kakitangan hotel perlu dikua­rantin pula, jadi bagaimana hotel mahu beroperasi,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, ketika cuti hujung minggu ini jumlah tempahan bilik yang diterima kebanyakkan hotel di negeri ini meningkat sehingga 80 peratus.

“Pada hari biasa tempahan bilik mencapai 50 peratus dan meningkat ke 80 peratus pada hujung minggu ini, kita harap minat orang ramai untuk me­lancong akan terus ada bagi membantu industri ini bangkit semula,” katanya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI