fbpx

Sengsara berganda penghuni Seri Perantau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Masitah Alang Mat Piah terpaksa mengangkat air ke rumahnya yang terletak di tingkat empat dengan menaiki tangga selepas lif di Flat Sri Perantau, Klang rosak semalam. – ZULFADHLI ZAKI

KLANG – Masalah lif dan tangki air rosak di Pangsapuri Seri Perantau, Pelabuhan Klang di sini, menambah keperitan penduduk terutama warga emas ketika berlakunya gangguan bekalan air.

Kesulitan itu dihadapi berikutan hanya satu lif di setiap 12 blok pangsapuri yang mempunyai lapan dan sembilan tingkat itu berfungsi selain beberapa tangki didakwa rosak sejak ­sekian lama.

Setiausaha Jawatankuasa Bertindak penduduk kawasan itu, Shamsul Anuar Abdul Halim, 53, berkata, masalah berkenaan menyebabkan hampir 8,000 penduduk terpaksa bersesak mendapatkan bekalan air sekiranya stok simpanan kehabisan.

“Setiap blok pangsapuri mempunyai dua lif, namun hanya satu daripadanya berfungsi sekali gus menyukarkan penduduk untuk mengangkut air.

“Selain itu, beberapa tangki mengalami kerosakan hingga menyebabkan air tidak dapat di­salurkan sepenuhnya ke rumah penduduk sebelum gangguan bekalan berlaku,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.

Bagi Silimah Budin, 64, masalah itu sememangnya menambah kesengsaraan penduduk warga emas sepertinya.

“Saya terpaksa menyimpan air di beberapa tong dan botol sejak semalam yang diharap mencukupi sepanjang tempoh gangguan.

“Saya tidak berdaya dan enggan bersesak menggunakan lif sama untuk mengambil bekalan air,” kata nenek kepada tiga cucu itu.

Zainul Abidin (kanan) dan Shamsul Anuar (kiri) menampal notis memaklumkan lif di Flat Sri Perantau, Klang rosak semalam.

Dalam pada itu, penduduk yang juga Pengerusi Blok D, Zainul Abidin Abu Hassan, 57, berkata, sebanyak tujuh kali masalah kerosakan lif berlaku di blok berkenaan tahun ini.

“Kejadian itu turut menyebabkan tiga penduduk turut terperangkap dan kita tidak mahu keadaan sama terus berlaku.

“Selain kesesakan akibat kekurangan lif, penduduk berdepan risiko tinggi terdedah kepada pandemik Covid-19,” katanya.

Justeru, dia berharap pihak berkaitan terutama kerajaan ne­geri memandang serius bagi menyelesaikan masalah lif dan tangki utama yang perlu diselenggara serta diganti baharu.

Pangsapuri itu terbahagi kepada dua fasa yang menempatkan 1,656 rumah.

Sebanyak 998 kawasan di Pe­taling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Se­langor, Kuala Langat dan Kuala Selangor mengalami gangguan bekalan air berjadual sehingga Sabtu ini.

Gangguan itu susulan kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset kritikal yang menyebabkan henti tugas Loji Rawa­tan Air Sungai Selangor Fasa 1.

Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. menggerakkan 105 lori tangki air ke kawasan terjejas selain 18 pili air awam disediakan untuk kemudahan pengguna.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI