fbpx

Kelantan benarkan solat jemaah ikut kapasiti masjid, surau esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KOTA BHARU – Selepas lebih empat bulan kehadiran orang awam ke masjid dihadkan, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) akhirnya membenarkan jumlah jemaah mengikut kapasiti sebenar masjid dan surau di seluruh negeri ini bermula esok.

Yang Dipertua Maik, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, kebenaran itu berdasarkan kedudukan antara jemaah selepas penjarakan fizikal 1.5 meter semasa menunaikan solat fardu dan Jumaat.

Menurutnya, solat fardu Jumaat turut dibenarkan di halaman atau pekarangan masjid dengan penjarakan fizikal 1.5 meter.

Ujarnya, kakitangan masjid dan jemaah yang hadir wajib lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19.

“Maik turut menetapkan syarat iaitu penerima vaksin jenis Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac wajib melepasi hari ke-14 daripada tarikh suntikan dos kedua untuk menunaikan solat.

“Bagi penerima vaksin satu dos suntikan iaitu Johnson & Johnson dan CanSino, mereka perlu melepasi hari ke-28 daripada tarikh suntikan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya yang juga Tengku Temenggong Kelantan, pelaksanaan solat jemaah mengikut kapasiti masjid dan surau itu telah mendapat perkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sebagai Ketua Agama Islam Negeri seperti peruntukan Perkara 6 (1) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan.

Ujarnya, bagaimanapun, semua aktiviti lain seperti majlis zikir, kelas al-Quran, kuliah umum dan khas adalah tidak dibenarkan.

“Kelas-kelas pengajian secara dalam talian adalah digalakkan agar aktiviti mengimarahkan masjid dapat diteruskan,” katanya.

Sebelum ini, Maik hanya membenarkan seramai 40 orang jemaah untuk menunaikan solat fardu dan Jumaat di semua majid serta surau di negeri ini pada bulan lalu.

Kelonggaran itu diberikan selepas hanya empat orang jemaah yang terdiri daripada kakitangan surau dan masjid dibenarkan untuk menunaikan solat sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 pada 1 Jun lalu – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI