fbpx

Han So-hee tak lagi tipikal, kini lasak, agresif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HAN SO-HEE

MEMILIKI raut wajah jelita dan tubuh badan menawan, aktres terkenal Korea Selatan, Han So-hee cukup sinonim dengan karakter tipikal wanita.

Antaranya menerusi drama popular tahun lalu, The World of the Married yang telah melonjakkan namanya dalam industri hiburan negara kimchi tersebut.

Bukan itu sahaja, watak Yeo Da-kyung wanita perampas dalam drama berkenaan turut memberi anugerah pertamanya sebagai Aktres Baharu Terbaik menerusi anugerah APAN Star Awards dan Asia Artist Awards selepas lima tahun bergelar pelakon.

Sungguhpun begitu, aktres berusia 27 tahun itu membuat kejutan apabila buat pertama kalinya bersetuju untuk membawa watak gelap dan lasak dalam siri original Netflix berjudul My Name.

Lebih menarik, So-hee memberi persetujuan tanpa melalui pihak pengurusnya kerana tertarik saat kali pertama membaca skrip My Name yang berkisarkan sebuah dendam.

“Saya terus memberi persetujuan tanpa berfikir panjang dan tanpa memberitahu pengurus (ketawa). Saya memang mahu melakonkan watak Yoon Ji-woo yang disifatkan cukup berbeza dengan watak-watak yang pernah saya bawakan sebelum ini,” kata So-hee.

Perkara tersebut turut diakui oleh pengarah drama My Name, Kim Jin-min yang sebelum ini popular dengan drama Extracurricular.

DEMI memberi lakonan yang berkesan, So-hee menjalani latihan fizikal selama tiga bulan di sebuah sekolah aksi.

“Saya tanyakan So-hee dua soalan. Adakah kamu mahu melakukannya atau tidak? Adakah kamu akan menjalani latihan fizikal dengan bersungguh-sungguh?

“Saya beritahunya, dia mempunyai tanggungjawab yang begitu besar dan ada kemungkinan akan mengalami kecederaan.

“Selain itu saya juga beritahu, My Name merupakan peluang terbaik buatnya sebagai seorang pelakon.

“Saya mahu berterima kasih kerana dia telah buat yang terbaik,” kongsi Jin-min.

NASKHAH My Name merupakan drama aksi pertama lakonan So-hee sepanjang lima tahun bergelar pelakon.

Aksi

Komitmen tinggi diperlukan daripada So-hee memandangkan drama My Name bukan sahaja menuntut komitmennya menjayakan watak ahli kongsi gelap (Yoon Ji-woo), bahkan seorang pegawai polis (Oh Hye-jin).

Justeru, bintang drama Nevertheless itu terpaksa melalui latihan fizikal yang ketat di sekolah aksi bersama barisan pelakon My Name sebagai persediaan sebelum memasuki set penggambaran.

“Saya bukanlah orang lasak atau biasa dengan aksi seni mempertahankan diri. Jadi, saya perlu berlatih lebih keras kerana bimbang akan melakukan kesalahan.

“Kami menggunakan pelbagai senjata dan banyak adegan aksi, saya tidak kisah andai tercedera, tetapi sangat bimbang andai kesalahan yang saya lakukan akan mencederakan pelakon lain.

“Saya mahu penggambaran berakhir dengan selamat,” luah So-hee dalam sidang akhbar secara virtual baru-baru ini.

Jelas aktres kelahiran Ulsan, Korea Selatan itu lagi, meskipun terdapat banyak perkara baharu yang perlu dipelajari, namun penggambaran drama My Name langsung tidak melelahkan.
So-hee sebaliknya seronok dapat bermain pistol, pisau dan baton yang merupakan aksesori wajibnya sejak memulakan penggambaran pada November 2020.

“Saya tidak melakukan semua aksi sendirian. Sebaliknya, perlu mempamerkan koreografi aksi yang baik bersama pelakon gandingan.

“Rasanya kami lebih banyak bergelak ketawa di set penggambaran. Sepanjang penggambaran saya membawa pisau ke mana-mana untuk membiasakan diri supaya tidak kelihatan kekok ketika di depan kamera.

“Selain pisau dan pistol, terdapat banyak adegan melibatkan penggunaan baton sebagai senjata. Namun, baton yang digunakan sangat lembut kerana diperbuat daripada getah, tidak seperti baton yang sebenar,” kongsi So-hee.

Demi persembahan terbaik memandangkan 90 peratus aksi lagak ngeri dalam drama berkenaan dilakukan pelakon sebenar, So-hee menjalani latihan di sekolah aksi selama tiga bulan iaitu sebulan lebih awal berbanding pelakon lain.

Disebabkan latihan juga, berat badan So-hee naik sebanyak 10 kilogram (kg) daripada berat asal semasa berlakon dalam drama The World of the Married.

“Memang benar berat badan saya naik disebabkan otot yang terhasil daripada rejim senaman dan latihan fizikal yang ketat.

“Saya lakukan banyak senaman dan makan apa yang ingin dimakan sampai satu tahap berat badan naik sebanyak 10kg,” ujar So-hee.

SO-HEE tidak kisah andai tercedera, tetapi bimbang kesalahan yang dilakukan ketika penggambaran akan mencederakan pelakon lain.

Lasak

Selepas hampir enam bulan mengikuti senaman yang ketat iaitu tiga bulan menjalani latihan fizikal dan tiga bulan penggambaran drama, So-hee telah berubah secara total.

Jika sebelum ini So-hee tidak gemarkan aktiviti lasak dan bersenam, dia mendaftar memasuki kelas kickboxing sebaik penggambaran tamat.

“Sekarang rasanya saya sudah boleh melakukan 30 sit up dalam satu set. Saya juga sedang belajar kickboxing,” tutur So-hee tentang perubahan drastik dirinya.

Aktor Park Hee-soon yang memegang watak Mujin, seorang ketua pengedar dadah dalam naskhah tersebut turut berasa kagum dengan perubahan drastik So-hee.

Daripada seorang wanita lemah lembut, So-hee dilihat bertukar menjadi seorang yang tahan lasak.

“Kami semua terkejut dengan perubahan So-hee. Daripada seorang yang langsung tidak pernah melakukan senaman pilates, dia telah sampai sejauh ini,” tutur Hee-soon.

Bercerita lanjut tentang drama My Name jelas So-hee wataknya kali ini agak mencabar kerana perlu melalui banyak fasa daripada seorang gadis sekolah kepada ahli kumpulan kongsi gelap dan seterusnya seorang pegawai polis.

“Ji-woo menyaksikan kematian bapanya pada usia yang sangat muda. Dia tidak mempunyai pilihan selain mengikuti jalan tersebut (balas dendam).

“Saya merasai segala kepedihannya, tetapi dalam masa sama saya kagum dengan kesungguhannya untuk mencapai matlamat yang diinginkan.

“Hye-jin pula seorang yang lebih strategik dan kurang emosi berbanding daripada Ji-woo,” tutur So-hee.

SELEPAS hampir enam bulan mengikuti senaman yang ketat iaitu tiga bulan menjalani latihan fizikal dan tiga bulan penggambaran drama, So-hee telah berubah secara total.

Selepas berusaha keras, So-hee amat mengharapkan percubaan pertamanya membintangi drama aksi bakal mendapat sambutan daripada penonton.

“Saya dan barisan pelakon telah memberi usaha dan lakonan terbaik. Sudah tentu saya mengharapkan kerja keras, kami semua akan memberikan hasil yang positif dan drama My Name menjadi sebuah karya yang dinantikan oleh penonton,” luah So-hee menutup bicara.

Selain So-hee, My Name yang diarahkan oleh Kim Jin-min itu turut dibintangi oleh Park Hee-soon, Ahn Bo-hyun, Kim Sang-ho, Lee Hak-ju, Jang Yull dan Gyeong-ho.

Mengisahkan pembalasan dendam seorang gadis kerana kematian bapanya, naskhah berkenaan akan disiarkan secara eksklusif dalam Netflix bermula 15 Oktober ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI