fbpx

Dituduh palsukan kanser, Choi Sung-bong cuba bunuh diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sung-bong

PETALING JAYA – Penyanyi, Choi Sung-bong mencetuskan kontroversi apabila dia dituduh memalsukan penyakit kanser dihidapinya dan menggunakan wang derma yang diberikan peminat untuk kegunaan peribadinya.

Tuduhan tersebut dibuat oleh seorang YouTuber popular yang juga seorang wartawan, Lee Jin-ho menerusi sebuah video yang dimuat naik dalam YouTube dengan tajuk: “Choi Sung-bong disyaki palsukan kanser, mohon derma AS$840,000 (RM3.4 juta) untuk apa?”

Keraguan tersebut timbul selepas penyanyi yang lahir daripada program Korea Got Talent itu mahu memohon derma sebanyak RM3.4 juta untuk pembikinan albumnya.

Walhal kos untuk sebuah album berkualiti dan sebuah video muzik yang biasa digunakan oleh penyanyi terkenal Korea Selatan cuma sekitar RM348,906.

Sehubungan itu, video yang membabitkan Sung-bong dalam dua buah program iaitu AM Plaza dan Immortal Song telah dipadamkan daripada platform penstriman.

Dalam program AM Plaza yang disiarkan pada Julai lalu, penyanyi berusia 31 tahun itu menerangkan dia telah disahkan menghidap penyakit kanser hati, perut dan paru-paru ketika berusia 17 tahun.

Dia bagaimanapun sembuh selepas menjalani rawatan. Namun, pada tahun lalu Sung-bong mendakwa dia telah didiagnosis menghidap kanser kolorektal (kanser usus besar) tahap tiga, hipotiroidisme (masalah hormon tiriod) dan kanser tiriod.

Menafikan dakwaan tersebut, penyanyi yang popular dengan gelaran Susan Boyle Korea itu tampil dengan laporan diagnosis daripada hospital sebagai bukti.

Lebih menimbulkan keraguan hasil siasatan wartawan berkenaan, segala bukti yang diberikan penyanyi itu adalah tidak benar. Ini termasuklah kod penyakit yang didapati tidak wujud dan berbeza daripada laporan sebelum itu.

Wartawan berkenaan turut membawa laporan tersebut ke hospital yang mengeluarkan diagnosis penyakit Sung-bong.

Apa yang mengejutkan, pegawai di hospital berkenaan mendakwa tanda yang terdapat pada bahagian atas laporan diagnostik hilang pada laporan Sung-bong.

Bukan itu sahaja, pegawai tersebut turut mengesahkan cop dalam laporan Sung-bong berbeza dengan cop rasmi yang digunakan hospital berkenaan.

Bahkan pegawai itu tidak menjumpai sebarang laporan mahupun rekod kesihatan atas nama Choi Sung-bong di hospital terbabit.

Tertekan dengan kritikan peminat, Sung-bong akhirnya mengeluarkan kenyataan dalam satu siaran langsung dalam saluran YouTube miliknya pada Selasa lalu.

Dalam siaran langsung tersebut, Sung-bong dikesan berada di sebuah jambatan memohon maaf atas kontroversi yang berlaku.

Dia berada di atas jambatan berkemungkinan sebagai percubaan untuk membunuh diri.

“Saya mohon maaf dan menyebabkan kekecohan dengan isu terbaharu ini. Saya mengaku saya merokok dan minum minuman beralkohol.

“Masalah kemurungan yang dialami juga semakin teruk selepas menerima kecaman dalam beberapa hari ini. Saya mempunyai perasaan untuk mengambil nyawa sendiri dan sedang melawan perasaan negatif tersebut.

“Saya bergelut untuk hidup sejak muda dan saya sangat penat dan tidak boleh lakukan apa-apa lagi. Saya hidup dengan bersungguh-sungguh,” kata Sung-bong yang membesar di rumah anak yatim.

Sesi siaran langsung tersebut berakhir selepas dia dilihat diselamatkan oleh pasukan keselamatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI