fbpx
GAMBAR kenangan Rozzana (depan) yang dirakam bersama keluarga.

‘Adik sakit, tolong kami bawa pulang’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI – Sebuah keluarga di Taman Bayu Damai, Pengerang di sini merayu kepada kerajaan agar membantu membawa pulang adik mereka yang ‘ditidurkan’ selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Hospital Myongji, Korea Selatan akibat serangan asma, awal bulan ini.

Kakaknya, Nur Diana Abdul Rahim Lee, 46, berkata, adik ti­rinya, Rozzana Mat Nanyan, 35, telah empat tahun menetap di sana dan bekerja sebagai operator kilang pembuatan kalender dan buku di Incheon, Seoul.

Katanya, keluarga hanya mengetahui Rozzana dimasukkan ke hospital selepas rakan serumahnya di Korea Selatan menghubungi adik bongsu bagi memaklumkan keadaannya.

“Rozzana masih tidak sedarkan diri kerana ditidurkan bagi mengelak serangan sawan sejak hari pertama dimasukkan ke wad itu sehingga kini.

“Memang kami terkejut apabila dapat tahu kerana sehari sebelum itu, Rozzana ada menghantar kiriman mesej dalam kumpulan WhatsApp keluarga menyatakan kesyukuran selepas mendapat tahu ibu telah dibenarkan keluar dari hospital selepas diserang angin ahmar ringan.

“Kami dimaklumkan doktor telah melakukan pemeriksaan ujian CT Scan ke atas Rozzana dan mendapati ada ketumbuhan pada paru-parunya, tetapi belum ada rawatan susulan diberikan,” ujarnya.

Nur Diana berkata, dia kini bersama adik tirinya, Rashidi, 36, iaitu abang kandung Rozzana telah berada di Kuala Lumpur sejak semalam bagi menyelesaikan urusan permohonan visa untuk pergi ke Korea Selatan.

Bagaimanapun, katanya, mereka terpaksa menunggu kerana Kedutaan Korea Selatan didakwanya mengenakan pelbagai syarat menyebabkan urusan visa tidak dapat diselesaikan segera.

“Sementara tunggu urusan visa selesai, pihak daripada wakil rakyat Ahli Parlimen Pengerang telah membantu kami dari segi penginapan. Kami cuma harap semuanya akan dipermudahkan.

“Kami hanya mahu bawa balik adik dan dirawat di hospital negara ini. Kami faham dana untuk membawanya pulang tinggi, sebab itu kami amat berharap bantuan kerajaan bagi melancarkan lagi urusan kami,” katanya.

Tambahnya, sehingga kini, dia dimaklumkan bil hospital di negara tersebut sudah mencecah RM11,000 tidak termasuk kos rawatan.

Orang ramai yang ingin meng­hulurkan sumbangan boleh meng­hubungi Nur Diana di talian 011-7034 6900. -K! ONLINE

POPULAR