fbpx
WATAK Tengku Rangkas dalam kisah Anak Buluh Betong menjadi inspirasi bagi koleksi ini.

Rekaan terjemahan emosi Anak Buluh Betong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REKAAN fesyen bukan hanya dihasilkan untuk menyerlahkan gaya si pemakai tetapi juga menjadi medium penyampaian kisah-kisah menarik masyarakat dengan menonjolkan sifat-sifat sesuatu watak.

Pereka menggunakan pelbagai material dan teknik untuk menyampaikan penceritaan tersebut termasuk dengan mengolah fabrik, warna serta perincian tertentu.

Antara rekaan yang mengetengahkan kisah legenda Melayu ialah koleksi fesyen Vulnerability Of An Immortal Soul iaitu berkisar cerita dongeng berjudul Anak Buluh Betong.

Secara ringkasnya, cerita tersebut mengisahkan seorang raja yang menjumpai seorang bayi lelaki pada pokok buluh betong ketika berburu di hutan dan baginda mengambilnya sebagai anak angkat.

Namun, setelah meningkat dewasa, anak tersebut yang diberi nama Tengku Rangkas itu menjadi rakus dan derhaka sehingga sanggup membunuh ayahanda angkatnya itu demi kemewahan harta serta kehidupan yang tanpa batas.

KOLEKSI ini melibatkan tiga jenis rekaan yang mempunyai panjang labuh jaket berlainan bagi menggambarkan
ketamakan yang bertambah.

 

Sehubungan itu, pereka, Afrina Rashidi cuba menterjemahkan sifat rakus dan tamak menerusi tiga rekaan busana lelaki berkonsepkan wearable art iaitu karya yang boleh dipakai.

“Saya menggunakan fabrik nilon mesh yang keras untuk menonjolkan sifat keras hati dan tamak Tengku Rangkas itu.

“Ketiga-tiga rekaan tersebut dipadankan dengan jaket, bermula daripada rekaan pertama sehingga akhir jaket tersebut direka semakin labuh bagi menonjolkan ketamakannya yang bertambah,” kata pereka berasal dari Jengka, Pahang itu.

Selain itu, katanya, pada setiap jaket tersebut mempunyai perincian unik benang berjurai sebagai simbolik darah yang mengalir akibat perbuatannya sendiri.

Di bahagian bahu jaket pula turut diperlihatkan perincian sulaman tangan dengan teknik anyaman bagi menterjemahkan perasaan Tengku Rangkas yang bercampur baur antara tamak dan takut gagal sehingga dia sanggup menindas orang di sekeliling untuk mendapatkan perkara yang dihajati.

“Saya meng gabungkan tiga jenis fabrik berbeza untuk menghasilkan anyaman tersebut yang merupakan bahagian paling sukar dalam penghasilan koleksi ini.

ELEMEN Melayu diterapkan antaranya pada penggunaan fabrik kain pelekat.

“Saya mengambil masa selama dua minggu untuk menyiapkan anyaman pada ketiga-tiga jaket ini,” jelas graduan Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Fesyen, Fakulti Seni Reka dan Seni Lukis, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor.

Di samping itu, Afrina turut menerapkan elemen Melayu menerusi rekaan cekak musang, teluk belanga serta tali pinggang yang lazim dipakai lelaki zaman dahulu bagi meletakkan senjata selain fabrik kain pelekat.

Koleksi tersebut boleh dipakai secara kasual dengan menyuai padan bersama persalinan lain.

Terang Afrina, dia membuat rekaan itu demi meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kisah-kisah dongeng Melayu yang semakin dilupakan.

POPULAR

BERITA BERKAITAN