fbpx

Menumpang kasih datuk, nenek

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Razak (kiri belakang) dan Kintan (kanan) memerhati lima beradik melihat gambar ibu dan ayah mereka yang telah meninggal dunia akibat Covid-19 di Seri Kembangan semalam.

PETALING JAYA – Lima beradik yang hilang tempat bergantung selepas kematian ke­dua-dua ibu bapa mereka akibat wabak ­Covid-19 selang dua bulan kini dijaga datuk dan nenek mereka.

Bapa saudara mereka, Mohd. Ariff Hafizan Abdul Razak memberitahu, ibunya Kintan Sulaiman, 63, dan ayahnya, Abdul Razak Basiron, 67, yang sebelum ini tinggal di Klang akan menetap bersama lima beradik di rumah mereka di Seri Kembangan.

Katanya, keputusan itu dibuat hasil perbincangan bersama ahli keluarga lain demi proses pembesaran dan pembelajaran kanak-kanak tersebut.

“Lima beradik itu akan dijaga datuk dan nenek mereka buat masa ini. Saya dan adik-beradik lain akan selalu datang dan membantu keperluan mereka lima beradik,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Lima beradik itu Muhammad Hadhrami (11), Husna Humaira (9), Muhammad Harraz (7), Muhammad Hawwas (6) dan Hannan Humaira (3).

Episod duka kanak-kanak itu bermula apabila bapa mereka Mohd. Nasir Tahal, 46, menghembuskan nafas terakhir pada 11 Ogos lalu selepas dua minggu­ ditidurkan akibat Covid-19, manakala Ida Haryanie Abdul Razak, 38, meninggal dunia pada 7 Oktober lalu selepas 64 hari ditidurkan di Hospital Putrajaya.

Berita berkaitan: Lima beradik yatim piatu kerana Covid-19

Kedua-dua jenazah mereka­ di­semadikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Baqi, Cyber 10, Cyberjaya.

Tambah Mohd. Ariff, mereka kini dalam proses menukar sekolah kanak-kanak berkenaan yang sebelum ini di Bandar Kinrara ke sekolah di sekitar ­kawasan Seri Kembangan.

“Kami akan mencari sekolah yang lebih dekat dengan rumah bagi memudahkan ibu bapa saya memantau pergerakan cucu-cucu mereka,” jelasnya.

Bercerita lanjut, Mohd. Ariff berkata, empat anak saudaranya yang telah bersekolah mengerti ibu bapa mereka telah pergi buat selama-lamanya dan kesedihan masih jelas di wajah masing-­masing.

“Kehilangan masih baru, mereka (lima beradik) masih lagi terkesan di atas kehilangan bapa Ogos lalu dan kini ibunya pula. Kesemua anak arwah kecuali yang paling bongsu boleh faham dan menganggap ini semua suratan takdir.

“Cuma yang paling kecil kadang-kadang mencari juga di mana ibunya, jadi isteri saya yang membantu memujuk dan menenangkannya,” ujarnya.

Sementara itu, Mohd. Ariff memberitahu, dia bersyukur kerana banyak pihak tampil memberi bantuan antaranya Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) termasuklah orang ramai.

Orang ramai yang ingin membantu anak-anak tersebut boleh salurkan sumbangan ke akaun 162469188913 (Maybank) atas nama Mohd. Ariff Hafizan.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI