fbpx

Agenda perubahan iklim, teknologi hijau keutamaan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan bahawa agenda perubahan iklim dan teknologi hijau merupakan keutamaan negara di bawah pentadbiran kerajaan ketika ini.

Beliau berkata, pendirian tersebut bakal dibentangkan pada Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC COP-26) di Glasgow, Scotland pada 31 Oktober hingga 12 November depan.

Menurutnya, pendirian negara itu telahpun dibincangkan di peringkat tertinggi negara buat julung-julung kalinya di peringkat tertinggi negara melalui platform Majlis Tindakan Perubahan Iklim Malaysia (MyCAC).

“Walaupun saya dan Menteri Alam Sekitar dan Air Malaysia (KASA) tidak dapat menghadiri World Leader’s Summit pada 1 hingga November 2021 dan UNFCCC COP-26, keputusan mesyuarat telah memberi mandat kepada delegasi yang diketuai oleh KASA untuk menyampaikan Kenyataan Negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mesyuarat MyCAC Bil. 2 Tahun 2021 dipengerusikannya hari ini telah memutuskan perkara yang akan diketengahkan dalam Kenyataan Negara nanti.

Antaranya, Ismail Sabri memberitahu, adalah pengemaskinian Nationally Determined Contributions (NDC) yang lebih bermatlamat besar (ambitious) kepada UNFCCC COP-26.

“Malaysia berhasrat untuk mengurangkan intensiti pelepasan GHG merentasi ekonomi sebanyak 45 peratus (berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar) pada tahun 2030 kelak.

“Pengurangan intensiti tersebut dibuat tanpa syarat (unconditional) dan 10 peratus lebih tinggi daripada sasaran sebelum ini,” katanya.

Perkara seterusnya, menurut beliau, adalah aspirasi negara untuk mencapai pelepasan GHG bersih sifar (netzero GHG emissions) seawal-awalnya pada tahun 2050.

“Pencapaian sasaran ini adalah tertakluk kepada hasil kajian Strategi Jangka Panjang Pembangunan Rendah Karbon (LT-LEDS) yang akan dimuktamadkan pada akhir tahun 2022 oleh KASA.

Seterusnya, pelaksanaan Skim Perdagangan Karbon Domestik (DETS) oleh KASA, dengan kerjasama Kementerian Kewangan dan Bursa Malaysia Berhad,” katanya.

Menurut Ismail Sabri, skim itu melibatkan pembangunan platform tunggal bagi transaksi kredit karbon di peringkat domestik.

“Kerajaan yakin DETS berpotensi menarik pelaburan rendah karbon ke dalam negara, meningkatkan daya saing produk keluaran Malaysia di peringkat antarabangsa dan menjana sumber kewangan mampan kepada entiti dalam negara,” katanya.

Antara lain, menurut beliau, adalah meningkatkan penjanaan tenaga boleh baharu, sasaran perolehan 100 peratus kenderaan kerajaan yang bukan berasaskan enjin pembakaran dalaman (ICE) menjelang 2030, mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus litupan hutan negara, menggalakkan ‘zero waste’ dan kitar semula serta pembangunan bandar rendah karbon melalui Pelan Induk Bandar Rendah Karbon dan konsep ekonomi kitaran.

“Kerajaan juga telah mengambil kira faktor perubahan iklim dalam reka bentuk kejuruteraan sistem infrastruktur berkaitan air bagi memastikan pengurusan air secara lestari,” katanya.

Menurut Ismail Sabri, mesyuarat turut memutuskan untuk menggalakkan lebih banyak pihak swasta menjadikan aspirasi pelepasan GHG bersih sifar dalam agenda kelestarian operasi syarikat. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI