fbpx

Shahrulezad bengang, ada pelakon, kru menipu demi nak masuk set

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shahrulezad bengang dengan tindakan segelintir kru dan pelakon yang sanggup menipu status vaksinasi demi menjaga periuk nasi masing-masing walaupun disifatkan hanya mementingkan diri sendiri.

PETALING JAYA – Pengarah terkenal, Shahrulezad Mohameddin bengang dengan segelintir pelakon dan kru yang tidak jujur dan sanggup menipu dengan bertindak memalsukan sijil vaksinasi demi untuk bekerja.

Menerusi hantaran dalam Instagram, Shahrulezad berkata, perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana kelak akan menyusahkan seluruh keseluruhan pasukan produksi.

“Tolong jujur, sebab bekerja dengan niat menipu ini, insya-Allah tak akan berkat. Perkara yang merisaukan saya adalah apabila ada kru atau pelakon termasuk pelakon tambahan yang tak telus dan sanggup menipu.

“Akhir-akhir ini, bertebaran khabar angin mengatakan ada beberapa artis yang sanggup berpakat dengan orang dalam untuk memalsukan sijil vaksin dalam aplikasi MySejahtera hanya kerana mahu namanya ‘lepas’ untuk turun menjalani penggambaran,” tulisnya.

Tegasnya lagi, pihaknya tidak akan bertanggjungjawab jika ada mana-mana pihak termasuk pelakon mahupun kru yang menipu mengenai perkara tersebut.

“Saya tak tahu nak cakap apa lagi apabila sampai satu peringkat kru dan pelakon sanggup menipu kami.

“Apabila terjadi perkara ngeri seperti ini, kami selaku penerbit yang susah dan terpaksa keluarkan duit menanggung akibat perbuatan pentingkan diri mereka.

“Produksi terpaksa ditutup. Jangkitan yang lebih banyak akan berlaku. Paling ngeri, kematian mungkin akan berlaku.

“Terus terang cakap, belum ada lagi pakej insuran yang sanggup beri perlindungan sekiranya malapetaka ini berlaku di set saya, Radius One tidak akan bertanggungjawab andai kata ada yang menipu kami,” katanya lagi.

Menjengah ruangan komen, rata-rata rakan artis turut bersetuju dengan apa yang dikatakan Shahrulezad dan menyifatkan mereka yang menipu itu sebagai individu tidak bertanggungjawab dan hanya mementingkan diri sendiri.

“Ini lah masalah dia! Dah bagi shooting (penggambaran) tak nak bersyukur, masih nak menipu.

“Nanti bila kena tarik balik, merungut, bersedih tak boleh kerja. Dah ada peluang kembali berkerja, tak jujur pulak!.

“Lepas tu, produksi lain yang jujur ikut semua prosedur operasi standard (SOP) jadi mangsa disebabkan benda macam ni. Pentingkan diri betul,” tulis Nabila Huda.

Pada hantaran sama, Shahrulezad turut menghormati dan berterima kasih kepada pelakon yang berpegang dengan pendirian untuk tidak menipu dan jujur walaupun berkeras dan enggan mengambil vaksin.

“Jujur, saya lagi hormat artis atau kru yang terus terang mereka tak nak ambil vaksin dan berpegang kepada pendirian itu.

“Sekurang-kurangnya, mereka tak menipu. Untuk mereka yang enggan ambil vaksin ini, saya tetap doakan rezeki mereka dipermudahkan dan dimurahkan Allah,” tulisnya lagi.

Pengarah drama Nur itu turut berkongsi mengenai kes jangkitan terbaharu melibatkan sebuah produksi dipercayai melakukan penggambaran di sekitar Perak.

Perkara tersebut menjadi tular apabila syarikat produksi terbabit tidak menghiraukan SOP dan pulang ke Kuala Lumpur sedangkan ada dalam kalangan kru dan pelakon terlibat positif Covid-19.

Ketidakpatuhan syarikat tersebut dikecam rata-rata netizen dan dibimbangi memberi impak buruk terhadap industri kreatif ketika ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI