fbpx

Lebih 1,000 panggilan diterima selepas dedah nombor telefon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shahidan (tiga dari kiri) bersama timbalannya, Datuk Seri Jalaluddin Alias (empat dari kanan) ketika melancarkan Program Hari Sukan Negara 2021 Peringkat Wilayah Persekutuan, di sini pagi tadi.

PUTRAJAYA – Lebih 1,000 panggilan telefon diterima Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim semalam selepas beliau mendedahkan nombor telefon peribadinya kepada orang awam, dua hari lalu.

Shahidan berkata, beliau menerima panggilan tidak henti-henti daripada orang awam sejak dua hari lalu sehingga menyebabkan telefonnya ‘hang’.

Menurutnya, beliau terpaksa menyerahkan telefonnya itu kepada pembantu untuk menjawab dan melayani panggilan daripada orang awam.

“Selain aduan mengenai jalan berlubang dan rosak, saya turut terima pelbagai aduan lain termasuk yang ingin memohon Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan bantuan kewangan.

“Malah, saya juga ada terima panggilan daripada kawan-kawan lama,” katanya ketika ditemui pada Program Hari Sukan Negara Peringkat Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.

Katanya, beliau akan memastikan setiap panggilan dan aduan oleh rakyat akan dilayan kerana ia sudah menjadi tugas pemimpin untuk melayan dan menyantuni rakyat.

Shahidan berkata, beliau juga meminta supaya orang awam menghantar aduan jalan berlubang menerusi pesanan khidmat ringkas (SMS) bagi memudahkan bantuan digerakkan segera.

Menurutnya, sejak dua hari lalu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah gerakkan usaha memperbaiki jalan-jalan berlubang khususnya di Kuala Lumpur.

“Saya minta maaf jika tidak sempat menjawab panggilan telefon tapi jika mereka SMS, saya akan menjawab serta merta dan menggerakkan bantuan.

“Ramai tanya saya kenapa mendedahkan nombor telefon kepada orang awam, saya jawab senang…kerajaan sekarang adalah kerajaan Keluarga Malaysia.

“Kita perlu telus dan berterus terang kerana setiap inci masalah rakyat kita harus selesaikan,” katanya.

Pada Khamis lalu, Shahidan mendedahkan nombor telefon peribadinya ketika sesi penggulungan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat. -K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI