fbpx

Tiada kunjungan ke atas TYT Melaka hingga Khamis ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tun Mohd. Ali Rustam

MELAKA – Mana-mana pemimpin politik tidak dapat mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Rustam sehingga Khamis ini berikutan beliau kini menjalani kuarantin kendiri Covid-19.

Setiausaha Khas Yang Dipertua Negeri Melaka, Datuk Nur Azmi Ahmad ketika dihubungi Kosmo! memaklumkan, Mohd. Ali dikesan menjadi kontak rapat individu positif Covid-19 dan mula menjalani kuarantin sejak 30 September lalu.

“Tun sedang menjalani kuarantin kendiri yang akan berakhir Khamis ini, namun segala kebenaran untuk mengadakan kunjungan hormat selepas tempoh tersebut adalah bergantung kepada keputusan beliau.

“Sekiranya Tun masuk semula ke pejabat pada Jumaat ini, mungkin beliau akan memaklumkan mengenai kebenaran kunjungan hormat tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Nur Azmi turut mengesahkan telah menerima surat permohonan menghadap oleh 11 ahli dewan undangan negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) dan empat ADUN kerajaan yang menarik sokongan, petang semalam.

“Surat tersebut telah saya utuskan kepada Tun untuk maklumannya,” katanya ringkas.

Terdahulu, mengikut laporan media, surat tersebut telah dialamatkan kepada Setiausaha Sulit Yang Dipertua Negeri yang ditandatangani oleh Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari.

Mengikut butiran surat tersebut, Adly memaklumkan bahawa pihaknya berhasrat untuk mengadakan kunjungan hormat bagi membincangkan senario politik semasa negeri Melaka ke arah memastikan kestabilan politik.

“Untuk makluman pihak tuan, saya berhasrat untuk mengadakan kunjung hormat ke atas Yang Dipertua Negeri Melaka bagi membincangkan senario politik semasa ke arah memastikan kestabilan politik agar pemulihan ekonomi negeri ini dapat berjalan dengan baik demi kesejahteraan rakyat.

“Sehubungan itu, sukacita sekiranya pihak tuan dapat memaklumkan hasrat saya ini kepada Yang Dipertua Negeri Melaka dan seterusnya mengatur kunjung hormat tersebut,” katanya yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

Semalam, Kosmo melaporkan, empat ADUN kerajaan mengesahkan bahawa hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali, berkuatkuasa serta-merta.

Gerakan untuk menggulingkan kerajaan tersebut diketuai bekas Ketua Menteri yang juga ADUN Sungai Udang (UMNO), Datuk Seri Idris Haron bersama ADUN Pengkalan Batu (Bebas), Datuk Norhizam Hassan Baktee; ADUN Pantai Kundor (UMNO), Datuk Nor Azman Hassan dan ADUN Telok Mas (Bersatu), Datuk Noor Effandi Ahmad.-K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI