fbpx

40 jemaah solat Jumaat wajib mencukupi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
gambar hiasan

SHAH ALAM – Semua pihak pengurusan masjid dan surau kebenaran solat Jumaat di Selangor perlu memastikan sekurang-kurangnya 40 jemaah termasuk imam mencukupi untuk menunaikan solat itu.

Mufti Selangor, Datuk Dr. Anhar Opir berkata, pihaknya merujuk kepada ketetapan baharu yang sudah dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sebelum ini.

Katanya, ketetapan itu berkaitan jemaah solat Jumaat dan solat fardu lima waktu di semua masjid dan Surau Kebenaran Solat Jumaat Negeri Selangor yang berkuatkuasa pada 22 September lalu.

“Jabatan Mufti Selangor mengambil maklum akan ketetapan qaul muktamad Mazhab Syafie.

“Ia menyatakan bahawa solat Jumaat hanya sah didirikan oleh sekurang-kurangnya 40 orang yang bermastautin di satu-satu kariah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Anhar meminta semua pengurusan masjid dan surau kebenaran mencukupkan jumlah jemaah berkenaan sebelum kewajipan fardu Jumaat ditunaikan.

“Jika jemaah masih tidak mencukupi selepas menunggu satu tempoh waktu, maka dikehendaki mendirikan solat Zohor kerana tidak cukup syarat sah Jumaat.

“Pengurusan masjid dan surau perlu berusaha mencukupkan bilangan 40 jemaah bagi memenuhi syarat sah solat berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Mufti Selangor dalam kenyataannya memaklumkan membuka permohonan untuk pengesahan arah kiblat mengikut kaedah dan rukun yang sempurna.

Jelasnya, pelaksanaan tugas itu telah dilaksanakan sejak 27 September lalu melibatkan sebuah surau pada 27 September lalu.

“permohonan boleh dilakukan dalam talian menerusi pautan https://www.muftiselangor.gov.my/permohonan-arah-qiblat-falak. Insya Allah kami akan turun ke lokasi permohonan dalam tempoh 12 hari daripada permohonan dibuat,”katanya. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI