fbpx

Sean Lee tak nak dilabel ‘tapau’ semua benda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEAN LEE

DIAM tidak diam, sudah hampir lapan tahun si jejaka berketurunan Tiong Hua itu mewarnai dunia seni tanah air.

Bekerja dalam komuniti Melayu, keadaan tersebut bukan satu penghalang kepadanya. Dia bahkan tidak kekok menyesuaikan diri mencari rezeki dalam dalam naskhah yang kebanyakannya menuntut pertuturan yang bukan bahasa ibundanya.

Begitulah sedikit introduksi tentang Sean Lee, satu nama yang mungkin tidak perlu diperkenalkan lagi terutama untuk mereka yang memang sudah lama mengikuti perjalanan hidupnya sebelum bergelar selebriti lagi.

Pasti ramai tahu atau mungkin juga pertama kali mengetahui jejaka kelahiran Subang Jaya, Selangor ini dahulunya aktif sebagai pencipta kandungan (content creator) dan mempunyai saluran YouTubenya sendiri.

Bermula dari situ, bakatnya mula digilap dan diasah perlahan-lahan sehingga terjun ke dunia lakonan dan pengacaraan.

MENGAKUI sedikit terjejas akibat pandemik, Sean bagaimanapun bersyukur rezekinya masih ada dan tidak pernah putus.

“Ya, sehingga hari ini saya sendiri pun masih tak percaya sudah hampir 10 tahun bergelar anak seni di persada hiburan air.

“Pantas sungguh masa berlalu. Tapi itulah, perjalanan hidup memang begitu, semakin hari semakin pantas, lebih-lebih lagi hidup dalam zaman pandemik ketika ini,” ujarnya seraya memulakan bicara bersama HibGlam.

Menerusi pertemuan secara dalam talian tempoh hari, Sean masih sama seperti pada awal pembabitannya dahulu.

Ceria dan positif. Itulah karakter sebenar Sean yang dibawanya hingga ke hari ini.

Tidak keterlaluan juga andai dikatakan, karakter budiman itu jugalah yang membuatkan lelaki berusia 27 tahun itu terus ampuh berdiri pada landasannya kini.

Diiringi bakat seni dalam dirinya, Sean dilihat begitu konsisten mengemudikan kembara kariernya.

MENYEDARI had dan kemampuan bakatnya, Sean tidak tamak dan merebut semua tawaran yang datang kepadanya.

Tamak

Bercerita lanjut, pemilik nama sebenarnya Sean Lee Jia Ern memberitahu, nasibnya boleh dikatakan bertuah walau tidak sehebat selebriti popular lain.

Katanya, walaupun pandemik membadai dunia dan percikan impak terkena pada dirinya, dia tetap bersyukur dengan rezeki yang diterima.

“Saya masih bernasib baik, walaupun keadaan sekarang memang tidak begitu mengizinkan untuk kita berkarya, tetapi rezeki itu tetap ada.

“Pada masa sama, saya bersyukur walaupun sedikit terjejas, tetapi rezeki dalam dunia lakonan, pengacaraan dan ulasan berbayar dalam laman sosial tetap ada,” ujarnya syukur.

Ujarnya lagi, sebelum ini ada juga tawaran lakonan terpaksa ditolak dengan cara baik dek berasakan tidak sesuai dengan dirinya.

“Ada juga saya dapat tawaran untuk drama dan beberapa naskhah lain sebelum ini, tapi saya terpaksa tolak dengan cara baik kerana berasakan konsep dan karakter yang ditawarkan jauh daripada kemampuan saya.

“Dalam hal ini, saya boleh katakan saya tidak tamak. Itu memang bukan diri saya.

“Saya tak nak dilabelkan sebagai artis yang ‘tapau’ semua benda disebabkan bayaran waima tidak kena dengan bakat,” ujarnya.

BAGI Sean, momentum perjalanan karier seninya banyak berubah berbanding ketika awal pembabitan sekitar 10 tahun lalu.

Nanti dulu

Meneruskan perkongsian, Sean yang baharu sahaja muncul menerusi drama terbaharu, The Hotel terbitan pengarah terkenal, Michael Ang bersyukur dengan peluang yang sentiasa terbuka buatnya.

“Ini pengalaman baharu buat saya. The Hotel bakal merungkai kisah panas yang berlaku dalam masyarakat termasuk hubungan skandal.

“Menariknya, siri arahan Helmi Yusof itu cuba menampilkan isu berani yang jarang diketengahkan kepada masyarakat,” katanya yang turut terharu digandingkan dengan beberapa nama besar seperti Mira Filzah dan MK K-Clique.

Ditebak soalan cepumas mengenai perancangannya menamatkan zaman bujang, Sean awal-awal mengatakan dia masih belum bersedia ke fasa tersebut.

Katanya, buat masa ini dia belum terfikir untuk menamatkan zaman bujang kerana mahu fokus terhadap kerjaya lakonan.

“Bab kahwin tu nanti dululah. Benda begitu biarlah tuhan yang tentukan. Bila dah tiba masa, pasti akan saya umum dan beritahu semua, ujarnya.

Menutup bicara, Sean memberitahu, dia kini sedang sibuk dengan beberapa kerja dan naskhah terbaharu yang bakal muncul tidak lama lagi selain memfokuskan perniagaan yang diceburinya.

BAB jodoh dan soal hati, Sean belum terfikir untuk menamatkan zaman bujang dalam masa terdekat.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI