fbpx

Zii Jia tidak sabar jumpa Momota

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZII JIA akan mengemudi pasukan negara untuk memburu kemenangan ke atas Indonesia pada aksi suku akhir Piala Thomas di Aarhus, Denmark esok.

PERSEORANGAN lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia mendedahkan dia teruja untuk berentap dengan pemain No.1 dunia dari Jepun, Kento Momota menjelang pertemuan kedua-dua negara pada saingan Kumpulan D Piala Sudirman di Vantaa, Finland Khamis ini.

Selepas kali terakhir bertemu di peringkat suku akhir kejohanan badminton Seluruh England (All England) Mac lalu, Zii Jia berharap lawannya itu sudah kembali menemui sentuhan sebenar.

Pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 lalu, Momota menampilkan aksi kurang bermaya apabila tersingkir seawal peringkat kumpulan, manakala Zii Jia tewas kepada pemain China, Chen Long di pusingan 16 terbaik.

Justeru, dia menyatakan hasrat untuk membuat perhitungan dengan Momota selepas membantu pasukan negara menewaskan England pada aksi pembukaan peringkat kumpulan di Energia Areena semalam.

“Sasaran utama kami di sini adalah menampilkan aksi terbaik ketika bertemu Jepun dan saya juga sentiasa menantikan peluang menentang Momota selepas kali terakhir bermain pada All England.

“Semasa Olimpik, Momota tidak berada pada prestasi terbaik. Oleh itu, saya harap dia sudah menemui sentuhan sebenar sebelum kami berentap antara satu sama lain,” katanya sejurus tamat permainan.

Zii Jia menghadiahkan mata kedua negara pada perlawanan semalam selepas menewaskan juara kebangsaan England, Johnnie Torjussen menerusi aksi straight set 21-4, 21-15.

“Secara jujur, saya banyak lakukan kesilapan mudah pada set kedua, namun nasib baik kerana berjaya dapatkan semula rentak permainan. Sangat gembira kerana dapat kembali ke ge­langgang selepas lama berehat,” ujarnya.

Kemenangan yang diraih ke atas England pastinya mampu memberi keyakinan kepada skuad negara menjelang ­perlawanan kedua menentang Mesir malam ini, sekali gus mencerahkan peluang Malaysia untuk me­langkah ke peringkat suku akhir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI