fbpx

Wanita berbeza agama derma buah pinggang buat suami masing-masing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultana (dua dari kiri), bersama suaminya, Ashraf (kiri) dan Sushma (paling kanan) bersama suaminya, Vikas (dua paling kanan). - The New Indian Express

NEW DELHI – Dua wanita di Dehradun, India membuat keputusan nekad mendermakan buah pinggang kepada suami masing-masing meskipun menganut agama yang berbeza, lapor akhbar The New Indian Express baru-baru ini.

Sushma Uniyal, 48, yang merupakan penganut agama Hindu, mendermakan buah pinggang kepada suami wanita beragama Islam, Sultana Khatoon, 46, manakala Sultana sebaliknya memberikan buah pinggangnya kepada suami Sushma.

Pembedahan tersebut berlangsung  dengan selamat pada minggu lalu, manakala  kedua-dua suami mereka iaitu  Ashraf Ali, 51 dan Vikas Uniyal, 50, dilaporkan berada dalam keadaan baik.

Kedua-dua lelaki tersebut sebelum ini perlu menjalani rawatan dialisis dan memerlukan sumbangan buah pinggang.

“Saya tidak dapat mengungkapkan rasa terima kasih kepada Sultana dan keluarganya . Kami membuat keputusan untuk membantu sesama sendiri dan kami ialah dua buah keluarga yang bahagia,” kata Sushma.

Tambahnya, doktor sebelum ini mencadangkan agar suaminya menjalani pemindahan buah pinggang, namun mereka gagal menemui buah pinggang yang sepadan dalam kalangan ahli keluarga dan saudara termasuk dirinya.

“Doktor dari Hospital Himalayan kemudiannya memaklumkan mengenai keadaan Ashraf yang turut perlu menjalani pemindahan buah pinggang. 

“Kami seterusnya menilai beberapa kertas kerja yang memaklumkan mengenai prosedur tersebut dan membuat keputusan untuk membantu antara satu sama lain,” ujar Sushma.

Sementara itu, Sultana berkata, tindakan Sushma menyumbangkan buah pinggang buat suaminya membuatkan dia kini menganggap wanita itu sebagai kakaknya.

“Ikatan kemanusiaan adalah lebih kuat berbanding apa-apa hubungan di dunia ini. Saya mengucapkan terima kasih kepada Sushma dan keluarganya kerana telah menyelamatkan nyawa suami saya,” ujarnya.

Tindakan kedua-dua wanita itu mendapat perhatian masyarakat di India dengan ramai aktivis memuji sikap yang ditunjukkan.

“Ini merupakan satu contoh hebat yang menunjukkan budaya, nilai dan etika yang diamalkan sejak dahulu,” kata seorang aktivis. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI