fbpx

Beroperasi semula selepas lapan bulan tutup, spa kecantikan dipecah masuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pekerja Nur Alwani Beauty & Spa di Bahau, Jempol menunjukkan pintu premis kedai yang telah diumpil dalam kejadian pecah masuk di kedai tersebut malam semalam.

Oleh NURULAZMA SHAFIQAH KHAIRUL AZHAR

JEMPOL – Belum sempat untuk seorang pengusaha spa kecantikan di daerah ini untuk menarik nafas lega selepas lapan bulan tidak dapat beroperasi, premis perniagannya pula dipecah masuk malam semalam.

Nor Azni Tolah, 41, berkata, kejadian tersebut berlaku malam semalam namun hanya disedari pagi tadi ketika pekerjanya mahu membuka premis bagi memulakan operasi kira-kira pukul 10 pagi.

“Sewaktu saya masih berada di rumah, seorang pekerja menghubungi dan memaklumkan pintu premis telah diumpil. Tiba di premis saya dapati premis kedai saya telah dipecah masuk dan meja kaunter dalam keadaan berselerak,” katanya ketika ditemui di Nur Alwani Beauty & Spa di Bahau, di sini hari ini .

Tambahnya, apa yang berlaku tersebut amat mengejutkan kerana spa miliknya itu baharu sahaja masuk hari kedua beroperasi.

“Sudah lapan bulan kami tidak boleh beroperasi, belum kira tahun lepas hanya berapa bulan sahaja dapat beroperasi, kini premis pula diceroboh masuk.

“Walaupun kerugian hanya sekitar RM300 sahaja tetapi itu adalah nilai besar bagi kami. Mujur ramai pelanggan yang menggunakan sistem tanpa tunai untuk pembayaran perkhidmatan jadi wang tunai yang ada hanyalah untuk peti tunai kami sahaja,” ujarnya.

Nor Azni berkata, dia telah membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol pagi tadi.

Dalam pada itu, Norazni mengakui bersyukur apabila Negeri Sembilan telah beralih ke Fasa 4 dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) .

Ujarnya, dua tahun pandemik Covid-19 merupakan sesuatu yang sangat mencabar bagi pengusaha-pengusaha spa kecantikan di seluruh negara.

“Saya sendiri terpaksa mencari alternatif lain untuk memastikan saya dapat membayar gaji pekerja saya dan membayar sewa kedai.

“Macam-macam yang saya lakukan termasuk menjual daging segar yang dibeli dari penternak lembu, membuka gerai rojak serta menjual sayur-sayuran kampung” katanya. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI