fbpx

So’oialo tekad bantu skuad Bunga Raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SO'OIALO yang merupakan bekas kapten ragbi New Zealand sedia mencurahkan segala ilmu dan pengalamannya kepada barisan pemain negara sebelum turun berjuang pada saingan ARC 2021.

KETUA jurulatih ragbi 15 sebelah negara, Rodney So’oialo mahu memberikan yang terbaik kepada skuad Bunga Raya dalam mempersiapkan barisan pemain bagi menghadapi Kejohanan Ragbi Asia (ARC) 2021.

Bekas kapten ragbi New Zealand tersebut menegaskan, selaku ketua jurulatih negara, beliau akan mencurahkan segala ilmu dan juga pengalaman dimilikinya kepada barisan pemain negara sebelum turun berjuang pada saingan ARC 2021.

Ketika ini, skuad Bunga Raya mempunyai tempoh kira-kira empat bulan sebelum berdepan pasukan berpengalaman seperti Hong Kong pada Januari 2022 dan bertemu Korea Selatan empat hari kemudian.

“Sudah pasti saingan ARC 2021 bukan mudah kerana Malaysia akan berdepan lawan yang cukup bagus. Saya yakin de­ngan disiplin tinggi dipamerkan oleh barisan pemain Malaysia, kita mungkin akan memperoleh keputusan positif.

“Apa pun, pertama sekali saya perlu pastikan keadaan pemain dalam pasukan, selain kesemua mereka mempunyai matlamat sama. Jadi, kita perlu bekerja keras dalam baki masa yang ada untuk bersiap sedia,” katanya kepada pemberita semalam.

So’oialo yang ketika ini menggalas tugas sebagai jurulatih program kejurulatihan di Trinity College, Sri Lanka dijangka tiba di negara ini pada 31 Oktober depan.

Naib presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Fahmi Jalil mengakui, So’oialo juga akan dibantu pembantu jurulatih dari Malaysia untuk memastikan kelancaran pembentukan pasukan pada tahun ini.

“Selepas So’oialo tiba ke Kuala Lumpur, kita akan mengumumkan pembantu jurulatih pasukan kebangsaan. Buat masa ini, semua calon terpilih terdiri dalam kalangan jurulatih tempatan. Kita berharap kehadiran pembantu jurulatih sedikit sebanyak dapat membantu So’oialo,” katanya.

Khidmat So’oialo amat ditagih KRM apabila memiliki reputasi hebat ketika bergelar pemain dengan mempunyai 62 penampilan bersama skuad kebangsaan 15s New Zealand selain menge­tuai All Blacks antara tahun 2002 hingga 2009.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI