fbpx

Rakyat pengotor muncul selepas PKP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
SHAZWAN YUSOP, WARTAWAN EKSEKUTIF

SELEPAS hampir sekian lama terkurung di dalam rumah akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), akhirnya orang ramai terutama yang lengkap vaksinasi kembali ‘bebas’.

Antara dibenarkan melakukan aktiviti rekreasi dan sukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Justeru, ramai yang mengambil kesempatan cuti hujung ming­gu untuk berkunjung ke pusat rek­reasi atau lokasi percutian.

Pensyarah Kanan Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia, Dr. Mohd. Hafizal Ismail berkata, kebanjiran pelawat di sesuatu tempat riadah boleh memberi kesan negatif kepada alam sekitar.

“Banyak tempat riadah se­perti jeram dan pantai telah diserbu. Peningkatan pelawat mencecah 100 peratus.

“Kesesakan ini bukan sahaja boleh menyumbang kepada penularan Covid-19, malah menjejaskan alam sekitar apabila jumlah pelawat melebihi kapasiti,” katanya baru-baru ini.

Lebih buruk lagi apabila ada segelintir pihak meninggalkan sisa buangan secara sesuka hati selepas beriadah.

Mohd. Hafizal berkata, tindakan meninggalkan atau membuang sampah di tempat rekreasi awam akan memberi kesan buruk kepada alam sekitar dalam tempoh jangka panjang.

“Kebanyakan pengunjung ketika ini bukanlah mereka yang selalu melakukan aktiviti luar. Jadi, mereka tidak ada kesedaran terhadap implikasi meninggalkan sampah di tempat rekreasi ini.

“Apabila sampah seperti sisa makanan ditinggalkan di kawasan jeram atau pantai, ia akan mengundang kehadiran tikus sekali gus menjadi punca penularan penyakit kencing tikus (Leptospirosis),” katanya.

Sementara itu, pencinta alam sekitar, Laili Basir menegaskan, masalah meninggalkan sampah di tempat rekreasi yang berlaku ketika ini perlu ditangani segera.

Jelasnya, pihak berkuasa perlu memikirkan tindakan proaktif yang boleh diambil bagi menghadkan jumlah kemasukan ke tempat rekreasi dan mengatasi masalah sampah.

“Saya berpendapat, salah satu usaha yang boleh dilakukan adalah dengan mewajibkan pelawat memohon permit. Jika pohon permit, pihak berkuasa boleh meminta wang deposit sampah.

“Bagi menuntut semula wang deposit tadi, pelawat perlu membawa pulang sampah mereka. Saya rasa itu sahaja cara untuk didik masyarakat kita,” tegasnya.

Katanya, ketiadaan tong sampah tidak boleh dijadikan alasan untuk meninggalkan sisa buangan di pusat rekreasi.

“Sepatutnya masyarakat perlu sedar dan mempunyai rasa tanggungjawab untuk membawa pulang sampah yang dibawa masuk ke satu-satu kawasan.

“Kalau pergi ke taman-taman awam di luar negara langsung tiada tong sampah. Ia bermakna, setiap sampah yang dibawa ma­suk, mereka perlu bawa balik dan buang di tempat sepatutnya,” ujarnya.

Laili memaklumkan sekiranya berlaku keadaan tidak terkawal secara berterusan, pihak berkuasa boleh menutup sementara pusat riadah tersebut dalam tempoh tertentu bagi melakukan kerja-kerja pembersihan.

Pada masa sama, beliau me­nyatakan kesyukuran apabila ada pihak tertentu sama ada organisasi bukan kerajaan atau individu yang melakukan kerja-kerja kesukarelawan dengan mengutip sampah di tempat-tempat rekreasi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI