fbpx

Teguh Mimpi introduksi Lakaa Idris

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BAKAT nyanyian Lakaa Idris disedari penerbit Jaja Ishak menerusi satu penganjuran kelas lakonan bersama pengarah, Isma Yusof di Kuantan, Pahang pada 2019.

DIA bukan siapa-siapa. Namanya jauh dari tangga populariti, tidak dikenali bahkan bukan penyanyi profesional mahupun pernah menyertai mana-mana program realiti untuk mengukuhkan jenama di mata orang.

Hakikatnya, bak kata bidalan, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Kata-kata tersebut sesuai ditujukan buat pendatang baharu yang memperkenalkan dirinya sebagai Lakaa Idris.

Lakaa Idris atau nama sebenarnya Mohamad Fahmi Fikri Andullah membuktikan bahawa setiap orang berpeluang menempa kejayaan biarpun tidak punya nama atau dikenali orang.

Buktinya, single debutnya berjudul Teguh Mimpi terpilih sebagai runut bunyi sebuah drama berjudul Anak Sena.

Tiada kata-kata yang dapat menggambarkan kegembiraan hati penyanyi muda itu apabila bakat yang ada dalam dirinya semakin diterima ramai.

Pada awalnya, hobi Lakaa sama seperti kebanyakan anak muda lain yang gemar menyanyikan lagu ‘cover’ dalam Instagram sebagai perkongsian suka-suka.

Siapa sangka, kini dia berjaya menyapa peminat muzik tanah air menerusi Teguh Mimpi sebagai introduksi dalam industri.

“Memang benar peluang yang datang tidak pernah terjangka sama sekali. Saya sendiri bukanlah penyanyi profesional yang datang daripada program realiti atau sebagainya.

“Apabila diberikan peluang, sudah pasti ini menjadi satu penghormatan buat saya,” ujarnya yang mula meminati bidang nyanyian sejak kecil.

Teguh Mimpi merupakan ciptaan sepenuhnya penyanyi dan komposer Amylea Azizan. Lagu berkenaan sememangnya dicipta khas untuk drama Anak Sena yang mengangkat tema pekerjaan guru di perkampungan Orang Asli di Pahang.

Bercakap mengenai peluang besar yang singgah dalam hidupnya, anak kelahiran Kuantan, Pahang itu teruja kerana tidak semua penyanyi baharu mampu meraih kesempatan sepertinya.

“Tidak semua lagu akan menjadi runut bunyi untuk drama. Apabila peluang datang, saya perlu bekerja lebih keras untuk memastikan kehadiran diri ini diterima semua. Apa yang saya

harapkan, lagu ini dapat memberi semangat positif kepada semua,” ujarnya.

Masuk kelas

Mengimbas perjalanan seninya, anak sulung daripada empat beradik itu memberanikan diri menyertai kelas lakonan yang dikendalikan pengarah Isma Yusof pada 2019 di Kuantan.

Daripada puluhan peserta yang hadir, hanya dia berminat untuk bergelar penyanyi. Bermula dari situ, bakatnya dihidu penerbit Jaja Ishak yang kemudian melamar Lakaa bernaung bawah pengurusannya.

“Dalam hidup perlu ada keberanian. Saya memberanikan diri menyatakan minat dalam bidang nyanyian ketika menyertai kelas tersebut.

“Jika tidak, mungkin peluang sebegini tidak akan diperoleh. Orang pun tidak akan nampak bakat saya.

“Pada masa sama, saya anggap permulaan perjalanan sebagai satu tanggungjawab besar yang perlu dipikul. Semoga perjalanan saya dipermudahkan,” katanya lagi.

Teguh Mimpi terbitan Jaja Ishak Channel dan Alternate Records & Talents serta diedarkan oleh MVM Music.

Lagu tersebut tersedia dalam semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, YouTube Music dan iTunes sejak 26 Ogos lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI