fbpx

Bercuti boleh, sekolah jangan lupa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Kira-kira 10 hari lagi sekolah akan dibuka bermula kelas-kelas peperiksaan di negeri-negeri Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Pembukaan sekolah secara berperingkat mengikut fasa dengan penetapan prosedur operasi standard (SOP) kehadiran pelajar hanya 50 peratus pada satu-satu masa melegakan banyak pihak.

Tidaklah ‘sedebuk’ masuk sekolah. Pengumuman sesi bersemuka ini turut disusuli sorakan anak-anak yang seronok untuk belajar di dalam kelas bersama kawan-kawan.

Kehidupan mereka bakal berwarna-warni selepas lama menghadap gajet.

Bagaimanapun, pembukaan sekolah ini mendapat reaksi berbeza, ada ibu bapa yang menyokong, namun tidak kurang juga melahirkan rasa takut apabila kes jangkitan masih tinggi.

Bagi mereka mengapa perlu tergesa-gesa membuka sekolah, malah tidak kurang juga mengambil pendirian tidak mahu menghantar anak kerana virus kini lebih mudah mereka melalui udara.

Semua ada alasan tersendiri dan tiada yang salah. Itu hak anda, malah Kementerian Pendidikan juga memberi ‘kelonggaran’ jika ada ibu bapa yang tidak mahu anak menjalani pembelajaran secara bersemuka.

Menghantar anak ke sekolah bukan bermakna ibu bapa tidak sayangkan nyawa zuriat mereka, jangan cepat menghukum dan meletakkan sesuatu perkara tanpa asas.

Sesi pembelajaran bersemuka, cara terbaik mengatasi masalah keciciran pembelajaran selain mengurangkan tekanan perasaan dan hilang motivasi dialami pelajar dan ibu bapa.

Bagi anak-anak seawal usia enam tahun, masalah membaca, menulis dan mengira membelenggu mereka.

Masalah keciciran turut membelenggu pelajar di tahap lain, ada antara mereka gagal menguasai mata pelajaran seterusnya menyebabkan ketinggalan dari arus pendidikan.
Ini kerisauan utama para ibu bapa.

Seorang guru menyatakan, dia bimbang dengan tahap penguasaan para pelajarnya, PdPR sunyi sepi, latihan sekejap hantar sekejap tidak, apa masalah pun tidak tahu kerana diam seribu bahasa.

Penulis pasti, pembukaan sekolah dan tadika yang bermula Isnin ini bukan semborono, SOP tetap dititikberatkan, kita perlu belajar dari kesilapan terdahulu.

Buat ibu bapa dan penjaga, anda perlu berlapang dada, sebagaimana kamu ‘merelakan’ diri membawa anak-anak bercuti dan membeli-belah di pusat beli belah dengan pematuhan prosedur operasi standard yang ketat.

Paling penting bekalkan pelitup muka.

Kadar vaksinasi dewasa juga telah capai 80 peratus imuniti kelompok yang ditetapkan, cuma untuk rentas negeri perlu tunggu sedikit masa lagi kerana indikator terbaharu ialah 90 peratus.

Buat 20 peratus lagi yang belum divaksin, cepat-cepatlah walk-in ke Pusat Pemberian Vaksin, jangan pula mengamuk bila kami boleh balik kampung.

Kerisauan penulis pada pelajar yang tidak divaksin, biarkan mereka teruskan PdPR di rumah sebagaimana guru-guru yang tetap pendirian menolak vaksinasi.

Jangan juga anda ‘memenuhi’ katil di hospital setelah kini pusat perubatan itu sedikit ‘lengang’.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI