KOTA BHARU – Pasangan yang tidak mendapat restu orang tua dan izin isteri pertama untuk menambah isteri bertindak licik apabila apabila menggunakan ejen tertentu bagi dinikahkan di atas bot di tebing Sungai Golok pada awal waktu subuh dan maghrib.
Kebanyakan pengantin lelaki merupakan ahli perniagaan berusia antara 40 hingga 50 tahun yang kemaruk untuk bernikah lagi tetapi ingin merahsiakannya daripada pengetahuan isteri pertama kerana tidak mendapat keizinan.
Pengantin perempuan pula terdiri daripada orang muda berusia dalam lingkungan 20 hingga 30-an yang tidak mendapat restu keluarga kerana kurang bersetuju dengan pilihan hati anak gadis mereka. Ada juga yang sudah mengandung sebelum bernikah.
Setiap pasangan pula perlu menyediakan RM2,000 sebagai upah ejen, jurunikah dan pemandu bot.
Seorang ejen berusia dalam lingkungan 60-an yang enggan dikenali memberitahu, dia membawa kira-kira 10 pasangan untuk berkahwin di negara jiran setiap bulan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Katanya, prosedur pernikahan sedikit berbeza apabila proses akad nikah dilakukan di atas bot di tebing Sungai Golok di sebelah negara jiran pada awal waktu subuh dan maghrib kerana ketika itu anggota keselamatan kurang membuat kawalan.
“Upacara nikah hanya dilakukan selama 10 minit yang turut dihadiri dua saksi, jurunikah dan pasangan pengantin yang memenuhi syarat sah rukun nikah.
“Namun, hanya pengantin lelaki yang dikehendaki menyeberang Sungai Golok dengan menaiki bot bersama saksi, manakala si perempuan akan menunggu di pangkalan haram di sebelah negara kita,” katanya kepada Kosmo!.
Tambahnya, imam dari Narathiwat atau Tak Bai yang merupakan wali hakim pengantin perempuan akan hadir ke tebing Sungai Golok untuk memudahkan upacara akad nikah.
“Saya telah membawa sebanyak 10 pasangan setiap bulan untuk berkahwin di sempadan.
“Saya hanya memudahkan urusan mereka kerana permintaan untuk berkahwin di negara jiran masih ada kerana hubungan tidak direstui keluarga atau isteri pertama,” katanya.
Ujarnya, bayaran RM2,000 itu akan dibahagikan kepada imam (RM300), kos sijil nikah (RM600) dan upah pemandu bot (RM100). Selaku ejen, dia hanya mendapat untung RM700.
“Imam Thailand akan mengeluarkan sijil nikah dalam tempoh seminggu sebelum diserahkan kepada ejen untuk diberikan kepada pasangan sebagai bukti mereka telah sah bernikah,” katanya.














