fbpx
CENDAWAN tiram kelabu yang diusahakan oleh Mohd. Farid dan isterinya, Sharina berkembang subur di kolong rumah mereka.

Usahakan cendawan lepas kehilangan kerja, kolong rumah penyambung rezeki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Bagi Mohd. Farid Imran, 51, dan isterinya, Sharina Shafiee, 48, kolong setinggi 1.3 meter dan seluas 500 kaki persegi di bawah rumah mereka di Taman Merah Jaya, Masjid Tanah, Melaka kini menjadi pembuka pintu rezeki apabila dapat dijadikan ‘kebun’ cendawan tiram kelabu.

“Sejak pandemik Mac tahun lalu, saya hilang terus sumber pendapatan sebagai perancang acara (event planner) kerana semua program terpaksa dibatalkan, manakala isteri pula suri rumah.

“Saya dan keluarga bergelut untuk meneruskan kehidupan sehinggalah kami mendapat idea untuk memanfaatkan kolong rumah kami dengan mengusahakan cendawan tiram kelabu.

Baca artikel penuh di www.kosmo.com.my

 

 

 

MUNGKIN ada antara kita yang menyimpan memori zaman kanak-kanak berlari-lari mengejar ayam di kolong rumah, melihat datuk menjahit jala, bermain sorok-sorok bahkan ‘bermesyuarat’ dengan sepupu-sepapat di ruang bawah rumah itu ketika semuanya pulang ke kampung menyambut hari perayaan.

Pada zaman dahulu, kolong di bawah rumah bertiang lazim dijadikan ruang serba guna bagi aktiviti kenduri-kendara, stor simpanan peralatanan dan hasil penuaian, manakala di musim tengkujuh menjadi tempat mengeringkan baju dan ‘bengkel’ nelayan membaiki jala tatkala tidak dapat turun ke laut.

Ruangan itu ternyata menjadi salah satu kelebihan susun atur ruang pembinaan rumah tradisional Melayu yang kini hanya dapat dilihat dan terpelihara di kawasan perkampungan atau di desa.

Namun, siapa sangka pada era moden dengan pelbagai teknologi canggih ‘terhidang’, kolong menjadi pilihan yang lebih praktikal serta efektif bagi sesetengah insan di saat dunia terpaksa ‘berkurung’ akibat pandemik Covid-19.

Bagi Mohd. Farid Imran, 51, dan isterinya, Sharina Shafiee, 48, kolong setinggi 1.3 meter dan seluas 500 kaki persegi rumah mereka di Taman Merah Jaya, Masjid Tanah, Melaka kini menjadi pembuka pintu rezeki apabila dapat dijadikan ‘kebun’ cendawan tiram kelabu.

“Sejak pandemik Mac tahun lalu, saya hilang terus sumber pendapatan sebagai perancang acara (event planner) kerana semua program terpaksa dibatalkan, manakala isteri pula suri rumah.

“Saya dan keluarga bergelut untuk meneruskan kehidupan sehinggalah kami mendapat idea untuk memanfaatkan kolong rumah kami dengan mengusahakan cendawan tiram kelabu.

“Bermula dengan modal RM6,000, kami mengusahakan sebanyak 4,500 bongkah yang boleh mengeluarkan hasil untuk enam bulan pendapatan dengan jumlah bersih RM2,000 hingga RM3,000 setiap bulan,” kata Mohd. Farid kepada K2.

KOLONG yang terletak di bawah rumah Mohd. Farid di Taman Merah Jaya, Masjid Tanah, Melaka kini dimanfaatkan untuk penghasilan cendawan.

Tambahnya, disebabkan keunikan tempat penghasilan cendawannya itu, dia turut menggelar cendawan tiram kelabu diusahakan sebagai cendawan kolong dan menjenamakan produk cendawannya dengan nama serupa, Cendawan Kolong.

Mengulas lanjut, dia bagaimanapun, berkata, penjagaan cendawan di kolong berbeza berbanding cendawan ladang atau di ruang yang lebih besar.

“Kami banyak membaca kajian mengenai cendawan dan mengumpul maklumat yang sudi dikongsikan pengusaha lain.

“Pada awalnya, sebanyak 2,000 bongkah yang dibeli rosak disebabkan penjagaan air berlebihan.

“Kolong ini kawasannya terhad dan tertumpu, jadi sebenarnya ia tidak memerlukan air yang banyak, cukup sekadar membasahkan lantai simen dan jaring kebun untuk mengekalkan suhu dan kelembapan yang diperlukan,” katanya.

Menurutnya, cendawan tiram kelabu memerlukan suhu 28 hingga 32 darjah dan 70 hingga 90 peratus kelembapan bagi penghasilannya.

Tambahnya, hasil yang dipetik juga lebih besar dan banyak disebabkan tumbuhan itu mendapat bekalan karbon dioksida yang mencukupi tanpa persaingan tinggi seperti di ladang.

Jelasnya lagi, antara cabaran lain menjaga cendawan di kolong adalah perlu meneliti bongkah-bongkah untuk memastikan tidak dijangkiti serangga pemusnah seperti bari-bari.

Menjadi rutin harian pasangan suami isteri itu akan memetik cendawan setiap pagi dengan anggaran berat antara 10 kilogram (kg) sehingga 15kg untuk dipasarkan di sekitar pantai di Pantai Puteri dan pasar tani secara pek.

“Pek kecil dijual pada harga RM3 (170 gram), manakala pek besar RM7 (500 gram). Setiap hari kami berjaya menjual sekurang-kurangnya 20 pek dan sebenarnya permintaan yang diterima sangat tinggi melebihi jumlah hasil yang dituai,” katanya.

CENDAWAN dihasilkan agak besar dengan saiznya menyamai tapak tangan dewasa.

Mohd. Farid berkata, dia tidak sangka, kerja mudah menyemai cendawan hanya di kolong rumah itu mampu membantu meringankan bebannya yang perlu menanggung isteri serta lima orang anaknya berusia antara 26 hingga 14 tahun.

“Kalau yang hilang pekerjaan, baru bergraduasi dan masih belum mendapat peluang, bolehlah cuba menyemai cendawan ini. Tidak semestinya di kolong, sebaliknya di mana-mana ruang yang ada, manfaatkanlah.

“Kos untuk menjaga cendawan ini hanyalah sedikit air dan masa kira-kira 45 minit pada waktu pagi untuk menuai serta memantau keadaannya daripada perosak,” katanya.

MOHD. FARID sentiasa memantau suhu dan kelembapan ruang di kolongnya bagi memastikan cendawannya tumbuh subur.

Sementara itu, Sharina memberitahu, dia sedang membantu suaminya melakukan kajian untuk menjual cendawan jeruk bagi mempelbagai produk dan meningkatkan harga jualan.

“Ramai pengusaha kecil cendawan tidak mahu meneruskan kerja ini kerana harga pasaran cendawan terlalu rendah.

“Jadi, saya dan suami cuba mempelbagaikan produk termasuk menyediakan pek keluarga iaitu menjual 12 bongkah cendawan tiram kelabu untuk disemai sendiri pelanggan di rumah masing-masing mengikut manual yang diberikan.

“Kini, saya sedang membuat eksperimen untuk penghasilan produk cendawan jeruk pula dan sekiranya berjaya kami akan teruskan idea menjadikannya snek atau keropok,” katanya.

Menurut Sharina, setiap bongkah boleh mengeluarkan hasil seawal tujuh hari selepas penutupnya dibuka dan boleh dituai sebanyak enam kali sepanjang tiga bulan.

Dalam pada itu, salah seorang ejen Mohd. Farid, Mohd. Saferi Mahat, 38, berkata, dia mula mengambil stok Cendawan Kolong sejak awal bulan ini dengan jumlah pesanan pelanggan mencecah 130 pek setiap minggu.

“Kebiasaannya saya akan mengumpul pesanan terlebih dahulu sebelum mengambil bekalan dan permintaan melibatkan rakan-rakan sekerja serta di kenalan Facebook sahaja mencecah 130 pek.

“Bekalan akan diambil pada setiap hari Jumaat selepas kesemua cendawan dipetik segar dan siap dipek oleh Mohd.Farid sebelum diedarkan kepada pelanggan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN