fbpx
Gambar hiasan

‘Semoga suasana suram Langkawi tidak berlaku lagi’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LANGKAWI – Pemain industri pelancongan dan peniaga di sini sudah boleh menarik nafas lega apabila ribuan pelancong ma­suk ke pulau ini setiap hari sejak pelaksanaan projek rintis gelembung pelancongan pada Khamis lalu.

Pengerusi Eksekutif Hotel Goldsands Langkawi, Dr. Ku Azhar Ku Abdul Razak berkata, lebih 30 peratus daripada 162 bilik hotelnya sudah ditempah oleh pengunjung.

“Jumlah itu menjadi satu petanda baik untuk permulaan projek rintis ini kerana kami ya­kin bilangan tersebut akan me­ningkat tidak lama lagi.

“Ada beberapa tempahan yang menukar tarikh kerana berlaku perubahan SOP (prosedur operasi standard) pada saat-saat akhir, namun ia tidak menjejaskan pihak kami,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Sementara itu, pemilik Mega Water Sports, Hussein Mohd. Said berkata, dia telah menerima tempahan jet ski untuk ke pulau-pulau.

“Ada pengunjung yang buat tempahan awal jet ski untuk lawatan ke pulau-pulau sebelum tiba di Langkawi selain ramai juga pengunjung yang walk-in,” ujarnya.

Bagi peniaga restoran makanan laut Singgah Seafood, Nurhazirah Abdul Rahman, pihak­nya menerima banyak tempahan daripada pelanggan tetap yang sudah lama tidak boleh melancong ke pulau ini.

“Sehingga minggu depan, hampir setiap hari kami me­nerima tempahan meja daripada pengunjung, saya berharap keadaan ini berterusan dan menghidupkan semula perniagaan di sini,” ujar­nya.

Seorang lagi pemilik kedai makan, Mohd. Hannan Hanif Abdul Halim, 32, memberitahu, selain pelanggan dalam kala­ngan penduduk setempat dia turut me­nerima tempahan da­ripada pelancong dari luar Langkawi.

“Sebelum ini saya hanya berharap pelanggan tempatan ke­rana kebanyakan penduduk di sini turut terjejas apabila sektor pelanco­ngan ditutup akibat pandemik Covid-19.

“Namun, bermula semalam (kelmarin), ramai pelancong yang datang menjamu selera dan saya berharap suasana Langkawi yang suram sebelum ini kembali ceria termasuk hari-hari yang mendatang,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN