fbpx
MENURUT Uzaidi, penggiat pelancongan menerima pengumuman kerajaan tentang pembukaan Langkawi dengan perasaan gembira seolah-olah ingin menyambut hari raya.

Langkawi dibuka, industri pelancongan ‘bernafas’ semula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SELEPAS terkurung hampir setahun ekoran tidak dibenarkan merentas daerah dan negeri disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran negara masih dibelenggu pandemik Covid-19, akhirnya rakyat menerima berita baik.

Kerajaan telah membuka Langkawi kepada pengunjung sebagai projek perintis gelembung pelancongan dan menjadi penanda aras untuk pembukaan tempat pelancongan lain pada masa depan.

Minggu ini, kolum Wawancara Kosmo! Ahad mewawancara Presiden Persatuan Pelancongan Dalam Malaysia (MITA), Uzaidi Udanis yang antara lain menjelaskan penggiat industri pelancongan meraikan langkah tersebut seolah-olah menanti kedatangan hari raya.

Beliau turut menjelaskan, sektor pelancongan negara seperti bernafas semula, selain menerima ‘nyawa’ baharu untuk terus kekal bersaing.

———————————————————————————————————————————————————————————————————————–

SELEPAS sekian lama ditutup ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak awal tahun lalu, para pengusaha sektor pelancongan sudah boleh menarik nafas lega.

Ia selepas pihak kerajaan melaksanakan projek perintis insiatif gelembung pelancongan di Pulau Langkawi, Kedah bermula 16 September lalu.

Menerusi inisiatif ini, individu yang lengkap dua dos vaksin Covid-19 dibenarkan untuk melancong ke pulau peranginan tersebut dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Ternyata projek tersebut mendapat maklum balas memberangsangkan daripada masyarakat yang sudah lama terkurung di rumah akibat pelaksanaan PKP. Ketika PKP, orang ramai dilarang melakukan aktiviti rentas daerah, negeri dan negara dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19 dalam masyarakat.

Malah dilaporkan, sebanyak 200,000 tiket penerbangan ke Langkawi sudah dijual oleh syarikat tambang murah negara, AirAsia selepas inisiatif berkenaan diumumkan.

Bagaimanapun, para pengusaha dan pengusaha pelancongan terlibat perlu memastikan projek perintis tersebut berjaya bagi membolehkan ia diperluaskan ke tempat lain. Wartawan Kosmo! Ahad, Mohd. Shazwan Yusop berpeluang menemu bual Presiden Persatuan Pelancongan Dalam Malaysia (MITA), Uzaidi Udanis bagi mengulas lebih lanjut mengenai perkara ini.

MENURUT Uzaidi, penggiat pelancongan menerima pengumuman kerajaan tentang pembukaan Langkawi dengan perasaan gembira seolah-olah ingin menyambut hari raya.

 

KOSMO! AHAD: Pembukaan Pulau Langkawi 16 September lalu kepada pengunjung telah membuka satu sinar baharu kepada sektor pelancongan di negara ini. Bagaimana tuan melihat perkembangan ini secara keseluruhan?

UZAIDI: Para penggiat industri secara keseluruhan amat gembira dan teruja apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembukaan sektor pelancongan di beberapa lokasi pada 2 September lalu dan Langkawi dipilih sebagai projek perintis.

Kebanyakan penggiat pelancongan berasa seperti mahu menyambut ‘hari raya’ apabila mendengar pengumuman itu selepas hampir setahun tidak dapat beroperasi.

Industri pelancongan di negara ini bagaikan mendapat ‘nyawa’ baharu selepas sekian lama ‘dimatikan’ ekoran pandemik.

Dalam kegembiraan itu, saya sedih apabila kerajaan tidak membuka pulau-pulau di Pantai Timur selari dengan Langkawi.

Ini kerana, pulau seperti Tioman di Pahang, Redang dan Pulau Perhentian (Terengganu) akan mengalami musim tengkujuh pada November ini hingga April tahun depan.

Sekiranya kerajaan membuka kembali sektor pelancongan selepas ini, penggiat industri di Pantai Timur perlu menunggu lebih lama untuk beroperasi seperti sebelum ini.

 

Bagaimanakah pembukaan semula sektor pelancongan dapat membantu pengusaha industri ini selepas ada yang rugi besar dan gulung tikar ekoran pandemik?

Sektor pelancongan ini memberi impak secara terus sekiranya tiada pelancong. Penggiat industri secara automatik mengalami kerugian, begitulah sebaliknya.

Justeru, pembukaan semula pelancongan dan kehadiran semula pelawat dapat membantu pengusaha sektor pelancongan menjana kembali pendapatan selepas beberapa bulan menanggung kerugian besar.

Kedatangan semula pelawat di tempat peranginan ini sangat penting kerana mereka akan berbelanja di hotel, restoran dan pengangkutan.

Menerusinya, ia akan memberi impak positif kepada ekonomi para penggiat industri dan penduduk setempat yang banyak bergantung kepada sektor pelancongan sebagai sumber rezeki.

 

Inisiatif gelembung pelancongan di Langkawi akan menjadi penanda aras dalam memperluaskan inisiatif itu agar lebih banyak destinasi pelancongan dalam negara dibuka. Dalam hal ini, bagaimana untuk memastikan pengusaha pelancongan dan pengunjung mematuhi SOP ditetapkan kerajaan?

Sepatutnya para pengiat sektor pelancongan harus memainkan peranan penting kerana mereka berurusan terus dengan pelancong secara bersemuka.

Mereka perlu menjadi barisan hadapan dalam memastikan orang ramai mematuhi SOP ditetapkan dan tidak hanya mengharapkan pihak berkuasa untuk membuat pemantauan.

Pada masa sama, kami juga telah membuat latihan kepada para penggiat pelancongan dan bekerjasama dengan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) iaitu sebuah agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang mengeluarkan persijilan garis panduan mengenai pematuhan amal dan SOP Covid-19.

Sijil ini mempunyai kod QR bagi membolehkan orang ramai melaporkan sebarang permasalahan terhadap pelaksanaan SOP di satu-satu lokasi pelancongan.

Sehingga kini, sebanyak 500 sijil telah dikeluarkan kepada penggiat sektor pelancongan di negara ini.

Bagi memberi jaminan bahawa pembukan sektor pelancongan adalah selamat, kerajaan telah menetapkan setiap pelancong yang ingin masuk ke Langkawi perlu menjalani ujian saringan atau pengesanan Covid-19. Adakah SOP sedemikian memberi kesan kepada jumlah pelancong yang datang?

Ramai pelancong sebenarnya keliru dengan beberapa peraturan ditetapkan pihak berkuasa sebelum mereka memulakan perjalanan ke pulau legenda itu.

Terbaharu, semua pelawat perlu melakukan ujian pengesanan Covid-19. Dalam hal ini, mereka perlu menjalani ujian RT-PCR atau RTK-Antigen di mana-mana fasiliti kesihatan dan makmal swasta dalam tempoh 48 jam sebelum tarikh berlepas.

Selain itu, pelawat juga boleh membawa kit saringan Covid-19 dari rumah atau membelinya di lapangan terbang dan jeti untuk melakukan ujian segera.

Keputusan ujian perlu ditunjukkan kepada pihak berkuasa sebelum dibenarkan menaiki pesawat atau feri.

SOP terbaharu ini dibimbangi menyebabkan berlaku kesesakan serta kelewatan di lapangan terbang dan jeti feri.

Justeru, saya menyarankan orang ramai tiba dua jam lebih awal di lapangan terbang atau jeti bagi melakukan ujian pengesanan itu.

Setelah sekian lama berkurung di rumah ekoran PKP, rakyat tentunya menyambut baik berita seperti ini bagi membolehkan mereka melepaskan tekanan akibat terlalu lama terperuk. Dalam hal ini, adakah pihak pengusaha pelancongan benar-benar bersedia untuk menyediakan perkhidmatan dan kemudahan terbaik selepas sekian lama tidak beroperasi?

Kami penggiat sektor pelancongan sebenarnya sudah lama bersedia iaitu sejak Disember tahun lepas lagi.

Namun, persediaan untuk memantau pematuhan SOP mungkin ada masalah sedikit memandangkan kehadiran pelancongan yang ramai dalam satu-satu masa.

Misalnya di Jeti Kuala Perlis, tempatnya kecil sehingga menyebabkan berlakunya kesesakan apabila pelawat datang dalam jumlah yang ramai sekali gus.

Salah satu cara yang kami lakukan adalah dengan mengehadkan jumlah pelawat di jeti dengan memperkenalkan kaedah pembelian tiket feri secara dalam talian supaya tidak perlu beratur panjang.

Kami juga menyediakan papan maklumat mengenai masa perjalanan feri supaya pelawat tidak perlu menunggu lama di jeti.

Saya harap pembaharuan diperkenalkan ini berlangsung secara efektif selepas 16 September, sekali gus memberi perkhidmatan dan kemudahan terbaik kepada pelawat.

JELAS Uzaidi, pembukaan sektor pelancongan kali ini lebih teratur dan sistematik dengan ketetapan SOP lebih baik.

Adakah berita baik ini memberikan satu ‘sinar di hujung terowong’ atau hanya sekadar jelmaan pelangi selepas hujan kepada mereka yang terlibat dalam industri ini. Dalam erti kata lain, adakah ia hanya bersifat sementara dalam memberi harapan besar kepada mereka yang terlibat?

Saya berpendapat pada kali ini, sektor pelancongan dibuka secara lebih teratur dan sistematik dengan ketetapan SOP yang lebih baik.

Malah, di negara luar seperti India, Eropah dan Amerika Syarikat aktiviti pelancongan sudah berjalan seperti normal selepas mereka mencapai kadar imunisasi berkelompok.

Dengan ini, saya berharap sektor pelancongan tempatan dapat mengikut jejak langkah negara-negara tersebut dan tidak ada lagi penutupan sektor pelancongan secara keseluruhan seperti sebelum ini.

Sebaiknya, laksanakanlah penutupan di tempat yang dikenal pasti menjadi punca penyebaran seperti saranan Menteri Kesihatan, Khairy Jamuluddin bahawa Covid-19 akan dikira sebagai endemik dan bukan lagi pandemik.

Selama ini, tanpa disedari rakyat sebenarnya dekat dengan sektor pelancongan kerana apabila mereka ‘dikurung’, barulah sedar akan nikmat kebebasan pergi ke mana-mana destinasi sebelum itu. Bagi menghargai sokongan rakyat itu, seharusnya mereka mendapat yang terbaik termasuk promosi istimewa ketika melancong. Bagaimana tuan melihat perkembangan ini?

Pihak Tourism Malaysia bersama-sama penggiat industri telah merancang untuk mengadakan promosi pakej percutian ke beberapa pulau di negara ini.
Menerusi promosi ini, kerajaan bercadang memberi diskaun RM100 kepada pakej pelancongan yang dibeli.

Promosi ini akan dilancar tidak lama lagi oleh kerajaan selepas melihat kejayaan daripada projek perintis di Langkawi ini.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN