fbpx
ROSLI bersama ibu gelama (kiri) dan tenggiri yang diperolehnya ketika memancing di sekitar Tukun Vietnam di perairan Kelantan baru-baru ini.

Sentapan ibu gelama jadi igauan pemancing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BAGI sesetengah kaki pancing, saat paling menguja dan menggembirakan apabila umpan pada kail yang dilabuh dimakan ikan lebih-lebih lagi daripada spesies besar.

Pengalaman bertarung untuk menaikkan ikan-ikan kelas A untuk tempoh yang lama pastinya memberikan keseronokan kepada mereka yang telah lama berkecimpung sebagai kaki pancing di tengah laut.

Alah bisa, tegal biasa. Itulah perumpamaan tepat yang boleh diberikan kepada mereka yang berpengalaman bermain ombak untuk memancing spesies ikan besar seperti tenggiri, jemuduk ibu gelama dan sebagainya. Mereka sudah pasti akan mengulangi berkunjung ke lubuk ikan tersebut pada masa depan.

———————————————————————————————————————————————————————————————————————–
SENTAPAN ibu gelama di sekitar tukun simen dan tukun bot nelayan asing yang ditenggelamkan di perairan Kelantan dekat Pasir Puteh baru-baru ini membuatkan seorang pemancing tegar sentiasa terbayangkan detik tersebut.

Selain gelama, pelbagai jenis ikan kelas A juga terdapat di kawasan yang juga dikenali sebagai Tukun Vietnam itu, namun bergantung sepenuhnya kepada pergerakan arus dasar dan jenis umpan yang digunakan.

Pemancing tersebut, Rosli Ismail, 47, amat merindui untuk mengulangi semula pengalaman mendaratkan ibu gelama yang sememangnya mendebarkan dan memberikan pengalaman yang tidak mungkin dilupakan sepanjang hayat.

Bagaimanapun, katanya, dia perlu bersabar kerana ibu gelama tidak muncul sepanjang musim kecuali hanya ketika galak mengawan dan berkumpul di dasar tukun pada bulan Ogos sahaja.

“Sekali pun tiada ikan idaman (ibu gelama) ikan-ikan daripada spesies lain seperti tenggiri, merah, kerapu, ebek dan lain-lain masih boleh ditawan di situ.

“Saya terpaksa menyusun jadual memilih hari cuti dan hujung minggu untuk menempah bot memancing. Setiap kali turun, pastinya ada rezeki yang diperoleh,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

ANTARA hasil tangkapan tenggiri yang pernah diperoleh Rosli.

Dia yang juga Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Gong Manak, Cherang Ruku, Pasir Puteh berkata, lebih gemar memilih waktu bulan purnama untuk memancing ibu gelama terutama dalam suasana cuaca baik, olakan laut yang tenang dan air laut pasang besar.

Katanya, kumpulan ibu gelama lebih gemar bermain di kawasan tukun bot yang ditenggelamkan pada waktu sedemikian yang menuntut pemancing senyap dan tidak bersembang kuat di atas bot dikhuatiri mengganggu ikan-ikan itu.

“Jika diamati, ‘suara’ ikan ini boleh kedengaran di permukaan air terutama ketika galak mengawan. Waktu inilah peluang keemasan pemancing mencuba nasib dengan melabuhkan mata kail dengan umpan.

“Saya lebih gemar menggunakan umpan udang hidup atau keratan sotong yang mampu memberi balikan cahaya di dasar laut. Penggunaan umpan sebegini telah terbukti berkesan kerana beberapa ekor ibu gelama sebarat 17 kilogram sudah berjaya saya daratkan,” ujarnya.

Rosli berkata, mengikut ‘bacaannya’, ibu gelama gemar bermain di dasar yang memiliki alur yang terdapat banyak makanan, terutama anak-anak ketam dan udang.

“Alur ini bagaikan longkang panjang yang terjadi disebabkan oleh pergerakan arus dasar dan ia menjadi habitat anak-anak ikan dan udang. Ibu gelama akan menjengah ke sini untuk mendapatkan makanan terutama ketika air laut pasang pada waktu malam.

“Ikan ini tidak datang seekor, tetapi dalam kumpulan yang banyak.

“Sekiranya bertuah, spesies ikan ini dapat ditawan lebih daripada seekor,” katanya.

IKAN jemuduk antara spesies yang banyak terdapat di kawasan tukun berkenaan.

Rosli berkata, pemancing hendaklah berlawan dengan ikan ini secara perlahan dan tidak terlalu rakus selepas umpan disentap dan perlu menggunakan tangguk atau cangkuk untuk mendaratkannya ke atas bot.

Katanya, sesetengah pemancing membiarkan ikan ini mati dipermukaan air kerana khuatir akan menimbulkan suasana bising sekiranya terus diangkat ke atas bot yang boleh menyebabkan kawanan lain lari ke kawasan lain.

“Saya pasti tidak akan lepas peluang untuk beraksi semula dengan ibu gelama menjelang Ogos tahun depan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN