fbpx

Pembinaan Hospital Bachok disambung semula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mustapa (tiga dari kanan) ketika mengadakan lawatan ke tapak projek pembinaan Hospital Bachok yang terbengkalai hampir setahun lalu. FOTO ZULHANIFA SIDEK.

BACHOK – Pembinaan Hospital Bachok yang bernilai RM141 juta akan disambung semula pertengahan bulan depan selepas projeknya terbengkalai hampir setahun lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kelewatan projek itu sebelum ini disebabkan oleh pihak kontraktor yang gagal menyiapkan pembinaan hospital berkenaan mengikut jadual iaitu pada Disember tahun lalu.

Menurutnya, pihak kontraktor terdahulu memberi alasan tidak cukup pekerja dan mengalami masalah kewangan sehingga menyebabkan projek yang bermula pada 27 September 2016 itu terbengkalai.

“Akibat daripada kegagalan pihak kontraktor, penduduk setempat menyalahkan wakil rakyat dan kerajaan. Jadi, kita mengambil serius mengenai perkara itu dan telah melantik kontraktor baharu bagi projek ini.

“Jabatan Kerja Raya telah mengeluarkan tender baharu pada 11 Mei lalu. Surat setuju terima akan dikeluarkan kepada kontraktor yang dipilih dalam masa terdekat dan kerja-kerja pembinaan bermula pada pertengahan Oktober,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak projek pembinaan Hospital Bachok di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mustapa memberitahu, projek tersebut telah siap 70 peratus dan kontraktor baharu yang dilantik akan menyiapkan baki 30 peratus pembinaan hospital itu dalam tempoh 18 bulan.

Menurut Ahli Parlimen Jeli itu, dengan pelantikan kontraktor baharu, beliau menjangkakan pertambahan kos dalam pembinaan hospital berkenaan.

“Kelewatan pihak kontraktor terdahulu ternyata memberi kesan terutamanya penambahan kos pembinaan dan ini akan merugikan semua pihak.

“Bagaimanapun, penyambungan semula projek ini memberi kemudahan kepada penduduk daerah Bachok apabila sudah tidak perlu pergi ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu dan Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian untuk menerima rawatan,” katanya.

Berdasarkan rekod, pembinaan Hospital Bachok melibatkan wad 76 katil, pejabat pentadbiran, kafeteria, perkhidmatan pesakit luar dan kemudahan awam yang lain.

Pembinaannya termasuk kuarters hospital, kawasan letak kereta, surau, bangunan sokongan seperti sub stesyen Tenaga Nasional Berhad, rumah sampah dan loji rawatan air. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI