fbpx

Covid-19 mendekatkan saya dengan Tuhan – Farah Nabilah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FARAH NABILAH

PETALING JAYA – Kedatangan virus maut Covid-19 sejak lebih dua tahun lalu dianggap sebagai musibah bagi kebanyakan orang, namun berbeza sebaliknya buat pelakon cantik Farah Nabilah.

Hal ini kerana menurut Farah, 29, pandemik mengubah kehidupannya menjadi lebih baik dengan dirinya mula melakukan penghijrahan kerana sepanjang menjalani tempoh berkurung di rumah, dia mengakui nuraninya berasa kosong.

“Sebenarnya dah lama nak pakai tudung, tapi mungkin Allah tak gerakkan hati lagi waktu itu. Sebelum Covid-19, kita selalu sibuk dengan kerja, sampaikan kadang-kadang terlepas atau tak sempat solat.

“Jadi bila duduk di rumah, rasa kosong dan seperti ada hilang sesuatu. Saya rasa, inilah juga yang dirasai ramai selebriti lain yang mengalami kekosongan itu iaitu Allah. Covid-19 sebenarnya membuatkan kita lebih dekat dengan Dia,” tuturnya.

Farah berkata demikian ketika muncul dalam satu sesi siaran langsung dalam Instagram bersama pelakon dan usahawan Tya Ariffin malam tadi.

Tambah pelakon drama Titian Cinta itu, hatinya mula dijentik untuk bertaubat selepas menyedari dirinya culas dalam menjalankan tanggungjawab sebagai hamba Allah kerana tidak mengikut perintah-Nya, sedangkan terlalu banyak nikmat dan rezeki menyinggah hidupnya selama ini.

“Tuhan dah bagi macam-macam. Rezeki cukup, dapat kahwin dan ada anak. Dapat semua yang didoakan. Jadi kenapa saya tak nak tutup aurat dan ikut suruhan Dia? Padahal Tuhan dah bagi macam-macam.

“Sebab itu saya ambil keputusan berhijab kerana dari situ, lebih mendekatkan saya kepada-Nya. Bila dah berubah, saya pun jadi takut nak buat jahat, mengumpat dan dosa-dosa lain. Kalau ada rasa takut dalam hati, kita patut bersyukur, sebab kalau tiada, itu bahaya,” ujarnya yang mula mengenakan tudung sempena sambutan Maal Hijrah baru-baru ini.

Pada masa sama, pemilik nama lengkap Farah Nabilah Saipuddin itu mendedahkan dia tidak merancang melakukan penghijrahan bersama rakan baiknya, pelakon Izara Aishah yang mencuri tumpuan ramai apabila tampil bertudung pada 13 Ogos lalu.

Jelas ibu kepada seorang cahaya mata itu, dia menerima perkhabaran positif tersebut selepas Izara sendiri menghantar mesej dengan mengajaknya memakai tudung.

“Kami tak rancang langsung. Mula-mula saya yang perlahan-lahan cuba tutup aurat dengan memakai selendang. Tiba-tiba dia mesej ajak pakai tudung. Ceritanya sekarang, kita tak tahu siapa dulu yang dapat hidayah.

“Cuma saya sangat gembira dan kagum melihat perubahan dia walaupun pada awalnya terkejut juga. Untuk seorang wanita yang sangat seksi sebelum ini terus bertukar menutup seluruh badannya, pengajarannya jangan mudah jatuh hukum kepada seseorang. Kita kena bersangka baik dengan semua orang,” katanya lagi.

Sejak lebih sebulan lalu, dunia hiburan tempatan diserikan dengan banyak berita positif membabitkan selebriti terutama wanita yang mula melakukan perubahan dengan menutup aurat.

Mereka ialah pelakon Siti Elizad, Betty Rahmad, Nana Mahazan, Vicha Saywho dan penyanyi Fieya Julia. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI