fbpx

Saya dulu pun jenis solat bersepah – Zul Ariffin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZUL ARIFFIN

PETALING JAYA – Dilihat menjalani perubahan dan semakin mendekatkan diri mencari reda Ilahi, pelakon Zul Ariffin mengakui pernah lalai dan leka dalam menunaikan tanggungjawab sebagai seorang Muslim, antaranya tidak cukup solat lima waktu.

Kata Zul, 35, sebab itulah dia faham tentang kegusaran dan kesukaran sesiapa sahaja yang sedang mencuba untuk menjadi manusia lebih baik dalam kehidupan.

“Jaga solat dan insya-Allah, semua yang lain Allah akan jaga. Bagaimanapun, disiplin nak buat (tunai solat dan buat amalan baik) itu yang perlu terus dipelajari.

“Saya faham sebab sebelum ini pun, saya tergolong dalam kalangan orang yang bersepah solat. Saya faham kesukaran dan ujian untuk memulakan sesuatu terutama tiang agama. Itu belum perihal yang lain,” katanya kepada Kosmo! Online.

Ditebak kesungguhan dirinya yang terus ingin menimba ilmu agama, kata pelakon drama rantaian, Rindu Awak 200% itu, hari demi hari dia semakin jatuh hati terhadap agama.

Bagaimanapun menurutnya, walaupun semakin menjurus ke arah menegakkan perihal rohani, itu tidak bermakna dia ingin bersara dalam waktu terdekat.

“Saya pergi majlis ilmu jumpa orang bijak agama atas dasar nak belajar. Nak amalkan ilmu atas diri sendiri itu yang mencabar tapi sekurang-kurangnya, saya berada di tempat (majlis ilmu) buatkan saya rasa lebih bagus daripada membazir waktu yang ada.

“Orang fikir saya berhijrah semua itu saya tak berapa pasti dan tak tahu nak cakap apa. Saya ingin belajar (mendalami) ilmu agama.

“Saya sayang kerjaya lakonan tapi pada masa sama, saya suka belajar tentang agama kita dan sebenarnya. Sudah lama saya belajar secara senyap-senyap cuma disebabkan ada orang berilmu ajak berkenalan, bagi saya, itu semua susunan Allah nak beri peluang saya kenal tambah ilmu dan pengalaman,” ujarnya lagi.

Tambah Zul lagi, apabila orang ramai mula menyedari perubahan dirinya untuk mendekatkan ke jalan agama, sedikit sebanyak dia berharap, mereka akan turut bergerak ke jalan sama.

“Yang penting, sebagai orang Islam, semua perlu cuba belajar walaupun perlahan-lahan untuk ke arah diredai Allah.

“Saya faham ramai di luar sana yang mungkin segan, tak berkesempatan atau tak tahu mana atau siapa nak tanya (perihal agama).

“Jadi, saya harap dengan tengok saya yang penuh dosa ini sedikit sebanyak orang di luar sana boleh usaha jadi lebih baik. Belajar perlahan-lahan. Kita semua manusia biasa yang nak belajar,” katanya yang menarik diri secara baik daripada bertanding dalam Anugerah Bintang Popular edisi kali ini.

Terdahulu, aktor kegilaan ramai wanita itu mencuri perhatian apabila dilihat kerap bertemu dengan pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew.

Perubahan sikap aktor bertubuh kekar itu difahamkan ada kaitan masalah kemurungan yang dihidapi impak situasi pandemik Covid-19 yang melanda negara ketika ini. Kosmo! hari ini turut melaporkan kisah-kisah penghijrahan anak seni sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan sejak tahun lalu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI