fbpx

MoU Transformasi, Kestabilan Politik lakar sejarah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri (duduk tengah) bersama wakil Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan memeterai MoU Transformasi dan Kestabilan Politik sempena pembukaan Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat Parlimen Ke-14 di Dewan Rakyat hari ini. - IHSAN PMO

PETALING JAYA – Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan hari ini telah melakar satu sejarah negara dengan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik bagi membentuk kerjasama dwi-partisan yang ampuh serta mantap

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, MoU itu menjulang semangat Keluarga Malaysia selaras titah Yang di-Pertuan Agong , Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena pembukaan Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat Parlimen Ke-14 di Dewan Rakyat.

“Titah hasrat Baginda Tuanku, semua pihak perlu mengamalkan demokrasi bermusyawarah dalam mencari penyelesaian kepada apa jua permasalahan demi mencapai matlamat Malaysia Makmur, Inklusif dan Mampan.

“Semangat Keluarga Malaysia yang menekankan perpaduan, kesepakatan dan kebersamaan inilah yang dizahirkan dalam MoU oleh kerajaan dan Ahli-Ahli Yang Berhormat pada petang ini,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Menurutnya, transformasi yang diperkenalkan kerajaan itu bukan sahaja mendorong kepada tadbir urus cemerlang dalam memerangi Covid-19 dan pemulihan ekonomi malah memangkin iklim pelaburan kondusif sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi yang kukuh demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.

Katanya, MoU Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimaktubkan hari ini merangkumi Pemerkasaan Pelan Covid-19, Transformasi Pentadbiran, Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia MA63 dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.

“Kerajaan yakin MoU yang dizahirkan ini bukan sahaja berupaya mengenepikan segala perbezaan politik bahkan mampu memastikan pemulihan negara berjalan secara holistik dan inklusif.

“Setinggi penghargaan kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat yang telah membulatkan tekad, mengenepikan perbezaan ideologi politik untuk bersama-sama memacu kestabilan ekonomi dan kesejahteraan Keluarga Malaysia,” ujarnya. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI