fbpx

Rehat secukupnya terhindar dari penyakit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TIDUR yang berkualiti bukan sahaja menyihatkan badan, tetapi juga boleh mencegah pelbagai penyakit seperti kemurungan, nyanyuk dan Alzheimer. – GAMBAR HIASAN

SATU kajian yang dilakukan oleh pakar bedah saraf di Amerika Syarikat, Dr. Sanjay Gupta mendapati, rehat dan tidur yang tidak mencukupi boleh menyebabkan individu berisiko tinggi diserang penyakit kronik seperti Dementia, kemurungan, kegemukan dan penyakit jantung.

Dementia atau di negara ini lebih dikenali sebagai nyanyuk adalah berkaitan dengan kurang daya ingatan yang disebabkan oleh kematian sel-sel otak secara abnormal.

Lebih membimbangkan, dengan tidak cukup tidur selama satu malam, ia akan meningkatkan keradangan pada otak yang akhirnya mendorong organ tersebut mengumpul beta-amyloid, sejenis protein otak dikaitkan dengan penyakit Alzheimer.

Dalam kajian pada 2013 ini, Dr. Sanjay turut mendedahkan, individu dewasa yang mengalami gangguan tidur lebih berisiko diserang Alzheimer.

“Ramai memandang remeh perihal kualiti tidur dan tidak meletakkan waktu rehat sebagai perkara penting dalam kehidupan.

“Tidur bukanlah menandakan individu malas, sebaliknya membolehkan berjuta-juta molekul dalam tubuh dipulihkan dan berfungsi dengan baik.

“Tidur yang baik meningkatkan pusat ingatan dan berkesan membersihkan otak daripada ‘sampah otak’. Kegagalan membuang ‘sampah otak’ inilah menjadi penyebab individu berisiko tinggi diserang Dementia,” katanya.

Tambahnya, kualiti tidur seseorang turut mempengaruhi setiap tingkah laku individu sepanjang hari termasuk selera makan, metabolisme, fokus dan keupayaan memori.

“Paling penting, ia turut mempengaruhi daya ingatan seseorang. Kekurangan tidur menghalang individu memproses maklumat secara umum.

“Bukan sahaja tidak mempunyai kemampuan untuk mengingat, individu juga tidak dapat menafsirkan maklumat dan membawanya ke otak untuk berfikir,” ujarnya.

Selain memerlukan tidur yang berkualiti untuk kesihatan otak, individu juga memerlukan rehat yang cukup bagi memastikan keseimbangan organ tersebut.

Jelas Dr. Sanjay, kedua-duanya saling berkaitan dan mempunyai kepentingan yang sama terhadap sistem tubuh.

“Setiap individu disyorkan untuk meluangkan masa merehatkan otak dengan melakukan meditasi selama 15 minit setiap hari kerana ia membantu menghilangkan tekanan.

“Antara meditasi yang disarankan ialah yoga, tai chi, latihan pernafasan, terapi bergambar dan berdoa.

“Kesemua aktiviti ini berkesan menurunkan tahap hormon stress kortisol dan jika dilakukan secara konsisten, ia mampu mengurangkan kegelisahan dan kemurungan,” ujarnya.

Di samping itu, individu turut disarankan bersenam bagi meningkatkan kemampuan dan ketahanan otak.

Walaupun kelihatan agak sukar untuk dipercayai, namun bersenam merupakan satu-satunya aktiviti yang terbukti secara saintifik mampu mencetuskan kesan biologi membantu otak berfungsi dengan lebih baik.

Bukan sekadar untuk otak, bersenam juga mampu meningkatkan sistem pencernaan, metabolisme, kekuatan tubuh dan kepadatan tulang.

Sebilangan besar individu menjadikan aktiviti bersenam untuk menurunkan berat badan.

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI