fbpx

NSFC rampas carta pendahulu Liga Premier

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NSFC berjaya memintas kedudukan Sarawak United untuk mendahului carta Liga Premier ketika saingan hanya berbaki satu perlawanan. - Foto ihsan Facebook NSFC

KUALA LUMPUR – Pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC) berjaya merampas kedudukan pendahulu Liga Premier selepas menewaskan Sarawak United 1-0 pada saingan di Stadium Kuala Lumpur, Cheras sebentar tadi.

Pada aksi tersebut, skuad The Golden Hornbill yang dikendalikan oleh E. Elavarasan telah membariskan kesebelasan terbaik dengan mempertaruhkan trio serangan berbisa terdiri daripada Gopi Rizki, Uche Agba dan Sandro Da Silva.

Namun, jentera serangan pasukan tuan rumah gagal memberikan impak yang diharapkan pada babak pertama apabila skuad Hobin Jang Hobin berjaya mengekang setiap asakan yang dilakukan.

Situasi berbeza pada separuh masa kedua pada pasukan pelawat yang dibimbing oleh K. Devan mula mendapat rentak dengan mengatur beberapa gerakan cantik untuk menguji pasukan Sarawak United.

Pasukan tuan rumah akhirnya menerima tamparan hebat apabila penjaga gol, Sharbinee Allawee dilayangkan kad merah selepas mengasari Mohd. Zamri Ramli pada minit ke-66 sekali gus NSFC dihadiahkan sepakan penalti.

Bagaimanapun, penyerang utama NSFC, Francis Kone gagal memanfaatkan sepakan penalti yang diberikan selepas rembatan yang dilakukan tersasar melepas palang gol.

Ketika saingan menuju ke masa kecederaan, Kone akhirnya menebus kesilapannya dengan menanduk gol kemenangan sekali gus memberi tiga mata berharga buat pasukan pelawat.

Kone bagaimanapun tidak bernasib baik apabila dilayangkan kad merah selepas membuka jersinya ketika meraikan jaringan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

NSFC ketika ini mengumpul 38 mata selepas mengharungi 19 perlawanan manakala Sarawak United dikedudukan kedua dengan 37 mata.

Sementara itu, di Stadium MB Petaling Jaya, pasukan feeder, Selangor 2 terpaksa akur dengan kekuatan Terengganu FC II (TFC II) selepas tewas dengan kekalahan 1-4.

Di Stadium UiTM, Shah Alam, pasukan Projek FAM-MSN mengalami kekalahan ke-15 pada kempen Liga Premier musim ini apabila Perak II melakar kemenangan 2-0. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI