fbpx
Pasukan Harimau Malaya.

Ulangi ‘magis’ bertemu Korea Selatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PELUANG skuad Harimau Malaya melakar sejarah baharu dengan melayakkan diri ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 semakin cerah.

Misi pasukan kendalian Kim Pan-gon adalah untuk meneruskan momentum cemerlang seperti yang telah ditampilkan ketika kali terakhir beraksi di pentas Piala Asia 2023, Januari lepas.

Pada saingan itu, pasukan negara berjaya mengikat pasukan No. 22 dunia, Korea Selatan dengan keputusan seri 3-3 pada aksi terakhir peringkat kumpulan. Keputusan itu mampu menaikkan semangat pemain dalam melakar kejutan pada dua perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Oman pada awal pagi Jumaat ini dan 26 Mac ini.

Skuad Harimau Malaya ketika ini mendahului carta Kumpulan D selepas meraih kemenangan ke atas Kyrgyzstan dan Taiwan pada tahun lalu dan berpeluang untuk mengukuhkan cengkaman jika melakar kejutan ke atas pasukan No. 80 dunia itu.

Andai meraih enam mata maksimum, pasukan kebangsaan sudah boleh meletakkan sebelah kaki ke fasa kelayakan Piala Dunia 2026 yang seterusnya ketika saingan masih berbaki dua perlawanan.

Ini kerana, setiap dua negara yang menduduki tangga teratas peringkat kumpulan kali ini akan lolos ke pusingan kelayakan ketiga, sekali gus menjadi 18 negara terbaik benua Asia.

Berdasarkan sasaran realistik yang diletakkan oleh Pan-gon, mata yang perlu dikutip oleh pasukan negara jika mahu layak adalah sekurang-kurangnya 12 mata.

Justeru, dua perlawanan menentang Oman kali ini boleh dikatakan sebagai kemuncak buat Harimau Malaya merealisasikan harapan tinggi yang telah diletakkan Persatuan Bola Sepak Malaysia.

Pemerhati bola sepak kebangsaan, Stanley Bernard percaya jika suasana serta mentaliti ketika bertemu Korea Selatan dipamerkan kembali oleh barisan pemain mungkin keputusan positif dapat dilakar.

“Saya percaya jika kita bawa semangat serta mengulangi mentaliti yang dilakukan ketika aksi terakhir bertemu Korea Selatan, kita boleh meraih keputusan yang baik.

“Tiada sebab untuk pasukan ini tidak berjaya untuk cipta kejutan kerana mereka masih segar dengan kemenangan ke atas Korea Selatan.

“Saya rasa pasti kita boleh buat andai budaya yang sama dipamerkan ke atas Oman,” katanya kepada Kosmo!.

Bekas pertahanan skuad kebangsaan, Razman Roslan turut berharap agar tiada ‘eksperimen’ yang dilakukan ketika bertemu Oman nanti agar misi pasukan meraih mata positif dapat dicapai.

“Apa yang kita pamerkan ketika menentang Korea Selatan perlu diterjemahkan kembali untuk perlawanan nanti (menentang Oman).

“Harapan saya, kita tak ada lagi buat macam eksperimen kerana apabila beraksi di peringkat tertinggi, sedikit kesilapan memang boleh menghukum pasukan.

“Selepas ini, kita akan mengharungi aksi kelayakan Piala Dunia serta kita sasar untuk kembali ke Piala Asia 2027 dan pemain perlu bersiap sepenuhnya,” katanya.

Di atas kertas, tiada yang mustahil kerana sepanjang enam rekod pertemuan menentang Oman, skuad Malaysia meraih dua kemenangan, satu seri dan mencatat tiga kekalahan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN