fbpx

Wabak meningitis serang Republik Demokratik Congo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Meningitis perlu dirawat menggunakan antibiotik dengan kadar segera. - WHO

TSHOPO, REPUBLIK DEMOKRATIK CONGO –  Republik Demokratik Congo mengisytiharkan penularan wabak meningitis di timur laut negara itu dengan pasukan tindak balas kecemasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah dikerahkan ke rantau yang  terlibat, lapor akhbar Saudi Gazette.

Menurut WHO,  lebih 260 kes disyaki meningitis dikesan setakat ini selain 129 kematian dilaporkan di wilayah Tshopo dengan kadar  kematian yang tinggi iaitu sebanyak 50 peratus.

Lebih 100 pesakit kini  menerima rawatan di rumah masing-masing dan pusat perubatan di Banalia.

Berdasarkan ujian yang dijalankan Institut Pasteur di Paris, meningitis jenis Neisseria telah dikesan.

Meningitis  Neisseria yang berpunca daripada jangkitan bakteria berpotensi menyebabkan epidemik besar-besaran.

Sementara itu, Pengarah WHO  bagi Afrika, Dr. Matshidiso Moeti berkata, sebuah  jawatankuasa tindak balas krisis telah ditubuhkan  di Banalia di samping ibu negeri Tshopo, Kisangani bagi meningkatkan usaha kawalan wabak.

WHO juga telah menyediakan bekalan perubatan di Banalia serta akan mengerahkan lebih ramai pakar dan sumber ke wilayah tersebut.

“Kami bergerak dengan pantas, membawa ubat-ubatan dan mengerahkan pakar-pakar untuk membantu kerajaan Republik Demokratik Congo mengawal wabak ini secepat mungkin,” ujar Moeti.

Meningitis adalah sejenis wabak yang berpotensi membawa maut dan perlu dirawat menggunakan antibiotik dengan  segera.

Meskipun semua lapisan umur boleh dijangkiti wabak tersebut, kebiasaannya ia lebih menjangkiti bayi, kanak-kanak dan golongan muda.

Penyakit itu disebarkan menerusi titisan pernafasan atau rongga tekak daripada pesakit yang dijangkiti.

Ia boleh menjangkiti individu lain yang mempunyai kontak berterusan serta berada dalam jarak  dekat dengan pesakit. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI