fbpx

Sekolah seni, platform asah bakat Club Mickey Mouse

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SIRI Club Mickey Mouse kini memasuki musim keempat dengan menampilkan dua wajah baharu selaku Mouseketeers dan Head Mouseketeers.

PROGRAM Club Mickey Mouse kini sudah memasuki musim keempat, namun magisnya untuk memukau penonton setia, khususnya golongan kanak-kanak tidak pernah luntur.

Satu perkara yang tidak dapat dinafikan, tarikan utama Club Mickey Mouse terletak pada barisan Mouseketeers yang menghiasi setiap episod program berkenaan.

Untuk musim keempat, Club Mickey Mouse menampilkan tujuh Mouseketeers iaitu Erissa, Faiz, Gabriel, Wafiy, Ellya dan dua wajah baharu, Melynna serta Eric yang dipilih sebagai Head Mouseketeers.

Membesar bersama Club Mickey Mouse, tiga Mouseketeers perintis sejak 2017, Erissa, Faiz dan Gabriel memberitahu, program tersebut bukan sahaja memberi inspirasi dan impak kepada penonton, bahkan buat mereka sendiri.

MUSIM keempat Club Mickey Mouse menampilkan lebih banyak perubahan termasuk dua wajah baharu iaitu Eric dan Melyyna di samping Erissa, Faiz, Gabriel, Wafiy dan Ellya.

“Secara peribadi, Club Mickey Mouse merupakan satu platform terbaik untuk mengasah bakat lakonan, tarian, nyanyian dan pengacaraan.

“Dalam program ini kami perlu melakukan semua perkara tersebut di atas satu pentas. Secara tidak langsung program ini membantu untuk pergi lebih jauh dalam industri seni pada masa depan,” kata Errisa yang mula bergelar Mouseketeers sejak berusia 14 tahun.

Gabriel, 20, yang turut menyokong kenyataan tersebut menjelaskan, mereka beruntung kerana dapat mempelajari banyak perkara tentang industri seni sejak belasan tahun.

Secara tidak langsung program tersebut telah mencungkil potensi diri yang ada dalam diri masing-masing.

“Kami boleh menyanyi dan menari kerana itu adalah syarat wajib ketika sesi uji bakat. Namun, menjadi Mouseketeers tidak terhad sampai di situ sahaja.

“Kami belajar banyak perkara, selain menulis lagu, saya juga belajar menulis skrip dan kerja-kerja di belakang tabir.

“Boleh dikatakan program ini telah memupuk minat saya untuk terus terlibat dalam industri seni pada masa depan.

Pengalaman paling mahal bergelar seorang Mouseketeers buat Gabriel adalah menggembirakan kanak-kanak dan menjadi antara memori manis zaman kanak-kanak seseorang.

“Andai saya tidak lagi menjadi seorang Mouseketeers, saya pasti akan terus terlibat dalam industri seni kerana ini adalah perkara yang saya suka lakukan.

“Jika tidak sebagai pelakon, mungkin saya menjadi penulis skrip atau pekerja belakang tabir,” jelas Gabriel.

Begitu juga dengan Faiz yang kini berusia 19 tahun. Anak muda yang gemar menari, menyanyi dan menulis lagu itu kini dalam proses untuk bergelar seorang penyanyi.

“Saya memang meminati muzik dan bersama program ini membuka lebih banyak ruang dan peluang untuk saya bekerjasama dengan ramai nama besar dalam industri muzik.

“Buat masa ini saya sudah menulis banyak lagu, cuma belum dikeluarkan. Insya-Allah jika ada rezeki saya pasti akan mengeluarkan lagu sendiri pada masa depan,” tutur Faiz.

Memori manis

Meskipun usia kebanyakan Mouseketeers sudah menginjak dewasa, namun keletah mereka dalam program Club Mickey Mouse tidak ubah seperti kanak-kanak. Tidak dibuat-buat kata Erissa, itulah diri mereka yang sebenar.

Biarpun usianya sudah memasuki angka 18 tahun, namun setiap kali memasuki set program tersebut secara automatik dia dan Mousekeeters yang lain menyesuaikan diri dengan karakter masing-masing.

“Kami memang sudah dewasa, tetapi perangai masih keanak-anakan.

“Jadi, apabila tiba di set penggambaran, automatik karakter untuk Club Mickey Mouse terkeluar dengan sendirinya,” ujar Erissa sambil ketawa.

Erissa menyifatkan Club Mickey Mouse sebagai platform terbaik untuk pergi lebih jauh dalam industri seni.

Ditebak apakah yang menariknya menjadi seorang Mouseketeers, Gabriel pula menyifatkan Club Mickey Mouse tidak sahaja boleh memberikan inspirasi bahkan mampu menggembirakan penonton cilik. Buatnya, itu antara kepuasan yang tidak dapat dinilai dengan wang ringgit.

“Jika boleh, saya mahu menjadi seorang Mouseketeers selama mungkin. Namun, saya percaya setiap orang ada masanya sendiri.

“Paling seronok menjadi Mouseketeers apabila dapat membuat kanak-kanak gembira. Saya juga sangat berbesar hati apabila ada kanak-kanak menjadikan kami idola mereka.

“Dapat menyebarkan perkara positif dan menjadi antara kenangan manis zaman kanak-kanak seseorang, bagi saya pengalaman tersebut begitu mahal harganya,” tutur Gabriel.

PENGLIBATAN dalam Club Mickey Mouse membuka lebih banyak peluang buat Faiz menjalin kerjasama dengan ramai orang terkenal dalam industri muzik.

Tambah Faiz, memandangkan kebanyakan peminat terdiri daripada kanak-kanak, mereka mempunyai tanggungjawab yang begitu besar.

Justeru, mereka harus menjaga imej dan tingkah laku agar tidak memberi pengaruh negatif kepada kanak-kanak.

“Sebenarnya tidak kiralah sebagai Mouseketeers atau pun tidak, selaku insan seni kita mempunyai pengaruh yang mampu memberi inspirasi positif dan negatif kepada masyarakat.

“Cuma kami adalah manusia biasa ada kalanya tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Namun, kita sendiri harus sedar batasan apa yang boleh dan tidak.

“Pada akhirnya kita bukan sahaja membawa nama program ini, tetapi juga diri sendiri selaku seorang artis,” kata Faiz.

Musim baharu

Menyentuh tentang perubahan yang dibawa dalam Club Mickey Mouse musim keempat, selain imej dan lagu baharu, mereka turut menambah dua Mouseketeers baharu iaitu Eric dan Melynna.

Eric, 22, yang diangkat sebagai Head Mouseketeers merupakan pemegang pingat emas sebanyak kali empat kali dalam pertandingan KL International Wushu, sementara Melynna pula adalah juara 2020 Club Mickey Mouse Star Search.

ERIC yang kini bertindak sebagai Head Mouseketeers merupakan pemegang empat pingat emas dalam KL International Wushu.

Meskipun membentuk sebuah keluarga baharu, Erissa, Faiz dan Gabriel menyifatkan seluruh tenaga kerja Club Mickey Mouse sebagai sebuah keluarga besar.

“Kami tidak melayan Eric dan Melynna seperti rakan sekerja, sebaliknya mereka adalah keluarga kami. Keserasian antara kami memang mudah terjalin, tidak perlu dibuat-buat.

“Seperti Melynna, walaupun dia anggota termuda dan baru berusia 14 tahun, namun cara dia membawa diri lebih matang daripada usia sebenar,” kongsi Erissa.

MENJADI anggota termuda iaitu 14 tahun, Melynna dipuji kerana miliki karakter cukup matang berbanding usianya.

Program sebanyak 13 episod itu juga menampilkan ramai tetamu undangan yang cukup popular antaranya Alif Satar, Sean Lee, Nabil Mahir, Elaine Daly, Sarah Suhairi, De Fam, Alyssa Dezek, Dr. Faiz Khaleed (angkasawan Malaysia) dan Cheong Jun Hoong (atlet terjun negara).

Bukan itu sahaja, apa yang lebih menarik, buat julung kalinya Club Mickey Mouse musim keempat bersiaran secara eksklusif menerusi platform penstriman digital Disney+ Hotstar bermula 28 Julai lalu.

“Saya rasa berbangga kerana Club Mickey Mouse berada dalam platform yang sama dengan karya-karya popular lain daripada seperti Thor dan Loki.

“Bagi saya Disney+ Hotstar satu platform yang begitu besar dan penonton dapat menonton kami secara eksklusif di situ.

“Dalam keadaan pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia, kami berharap Club Mickey Mouse musim baharu dapat memberi lebih banyak energi positif kepada penonton di luar sana,” tutur Gabriel.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI