fbpx
Razarudin (kanan) menunjukkan ketulan mampat heroin base yang dirampas pada sidang akhbar di IPD Seberang Perai Tengah di Bukit Mertajam hari ini.

Punggah 368 kg heroin base dengan kepala treler

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBERANG PERAI – Polis menumpaskan satu sindiket penyeludupan dadah selepas menahan 11 individu dalam operasi di negeri ini, Kedah dan Perak selain merampas ketulan mampat heroin base bernilai RM34.1 juta pada 3 September lalu.

Operasi oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu membabitkan enam serbuan di negeri tersebut dan menahan 11 individu berusia di antara 22 hingga 58 tahun.

Menurut Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain, semasa serbuan di Bukit Minyak, Bukit Mertajam di sini, pihaknya merampas sebanyak 1,000 keping heroin base seberat kira-kira 368 kilogram (kg).

Menurutnya, ketika operasi kira-kira pukul 12.40 tengah malam itu, dadah berkenaan yang diletakkan di dalam beberapa kotak sedang dibawa masuk ke dalam sebuah kepala treler oleh dua individu.

“Sebahagian daripada kotak-kotak itu telah dibawa masuk ke dalam kepala lori (treler), manakala sebahagian lagi ada di luar.

“Ketika kotak dibuka, pada lapisan atasnya diletakkan dengan seluar jean bagi mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Bukit Mertajam di sini hari ini.

Menurut Razarudin lagi, susulan serbuan itu, pihaknya menahan sembilan yang lain termasuk ketua sindiket berusia 42 tahun di beberapa lokasi di ketiga-tiga negeri itu pada hari sama.

“Siasatan lanjut mendapati sindiket yang aktif sejak lebih setahun lalu itu memperoleh bekalan dari negara jiran dan menjadikan Pulau Pinang sebagai transit sebelum dihantar ke negeri lain.

“Tangkapan itu juga menjadikannya yang terbesar oleh PDRM pada tahun ini membabitkan rampasan heroin base,” katanya lagi.

Beliau berkata, polis menyita pelbagai aset bernilai hampir RM2 juta termasuk lima buah kendaraan jenis Mercedes Benz E250, Toyota Vellfire, Range Rover Velar, Chevrolet Colorado dan Honda Civic serta wang tunai dan barang kemas.

Menurutnya, kesemua suspek termasuk seorang yang positif syabu itu direman selama tujuh hari sehingga esok bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN