PETALING JAYA – Beberapa syarikat e-hailing kecil-kecilan dipercayai memberi kebenaran kepada pemandu mereka untuk mengambil penumpang walaupun tidak memiliki Permit Kenderaan e-hailing (eVP).
Pengerusi Gabungan E-Hailing Malaysia, Jose Rizal mendedahkan terdapat kira-kira 100,000 pemandu e-hailing tanpa permit daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) kini beroperasi di seluruh negara.
Berdasarkan data terkini APAD, seramai 59,600 pemandu e-hailing beroperasi secara sah.
“Jumlah yang tidak memiliki eVP boleh dikatakan sekali ganda daripada itu, jadi jumlah kasar mereka yang kita tahu setakat ini adalah sekitar 100,000 orang.
“Bayangkan bagaimana pemandu e-hailing yang sah mahu bersaing, apatah lagi mencari rezeki jika 100,000 pemandu ‘haram’ turut beroperasi,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Menurutnya, secara purata, seorang pemandu e-hailing di Lembah Klang hanya mampu meraih antara RM100 hingga RM150 jika bekerja selama 10 hingga 12 jam sehari.
Malah, mereka terpaksa melakukan perkhidmatan penghantaran makanan atau barangan dan tidak bergantung sepenuhnya kepada penumpang.
“Jika hanya menghantar penumpang bagi tempoh sama, secara purata yang mampu diraih ketika Covid-19 sekitar RM50.
“Sebelum pandemik, mereka mampu meraih antara RM200 hingga RM350 sehari bagi tempoh bekerja yang sama. Jadi, kewujudkan pemandu ‘haram’
ini telah menjejaskan periuk nasi pemandu yang sah,” ujarnya.
Jose berkata, kebanyakan pemandu e-hailing tanpa eVP itu terdiri daripada mereka yang telah disenaraihitamkan oleh syarikat-syarikat e-hailing yang terkenal di negara ini kerana melanggar peraturan.
“Jadi mereka menggunakan aplikasi lain yang lebih longgar peraturan dan hanya mahu mengaut keuntungan untuk terus bekerja. Ada antara aplikasi itu tidak berdaftar dengan APAD.
Pada Oktober tahun lalu, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, Ismasuhaimi Shariff ketika itu dilaporkan berkata, sebanyak 10 kenderaan e-hailing milik sebuah syarikat dikesan beroperasi tanpa eVP di beberapa lokasi di Kedah.
Katanya, kebanyakan alasan diterima adalah mereka tidak tahu perlu mempunyai eVP kerana sebaik sahaja memuat turun aplikasi berkenaan sudah menerima tempahan pelanggan.
Pemandu kenderaan terbabit diambil tindakan mengikut Seksyen 16(1) APAD 2010 dan Seksyen 80(1) APAD 2010. -K! ONLINE

















