PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan telah menerima sebanyak 683 laporan berhubung kes pinjaman wang tidak berlesen dan menahan seramai 801 orang ah long sepanjang Januari hingga Ogos lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, kesemua laporan yang diterima melibatkan jumlah pinjaman sebanyak RM2,918,031.
“Pihak JSJK sentiasa membuat pemantauan dan risikan secara berterusan bagi mengesan serta mengenal pasti sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen atau ah long yang bergerak aktif di seluruh tanah air.
“Golongan ini (ah long) menawarkan pinjaman wang haram pada kadar faedah yang sangat tinggi dan disusuli dengan ancaman jenayah sehingga ke peringkat membunuh jika peminjam tidak mampu membuat bayaran kembali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pada 7 September lalu kira-kira pukul 11.30 malam, pihak JSJK Bukit Aman telah menjalankan operasi Vulture 5/2021 secara serentak di Johor Bahru Utara dan Selatan serta Iskandar Puteri, Johor.
“Seramai 14 individu melibatkan 11 lelaki dan tiga wanita tempatan daripada dua sindiket iaitu kumpulan ‘Ah Han’ dan ‘Ah Sing’ berusia 15 hingga 34 tahun telah ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti ah long.
“Sindiket ini didapati beroperasi sejak pertengahan tahun 2019 lalu dan menyasarkan warga tempatan sebagai mangsa dengan mengiklankan tawaran pinjaman menerusi media sosial dengan kadar faedah sebanyak 10 peratus hingga 15 peratus bagi tempoh seminggu,” ujar beliau.
Orang ramai boleh membuat semakan dan pengesahan lesen pendaftaran syarikat penjaman wang dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui laman web www.kpkt.gov.my dan mengetahui modus operandi jenayah komersial yang terkini di Facebook rasmi JSJK. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929














