fbpx

Program Bank Makanan Sunway bantu lebih 2,100 keluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA –  Kumpulan Sunway melalui program Bank Makanan #SunwayforGood Food bakal mengagihkan sumbangan makanan kepada lebih 2,100 keluarga daripada golongan B40 di Selangor, Kuala Lumpur, Perak, Pulau Pinang dan Johor sepanjang tempoh sekarang sehingga Hari Malaysia.

Timbalan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Sunway, Tan Sri Datuk Seri Razman M. Hashim berkata, program tersebut dijayakan melalui peruntukan dana pengiklanan untuk Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada  tahun ini.

Menurutnya,  menerusi inisiatif Bank Makanan #SunwayforGood itu lebih daripada 25,000 kilogram makanan akan diagihkan kepada  kumpulan sasaran.

“Perintah Kawalan Pergerakan yang berterusan untuk mengekang penyebaran Covid-19 tahun ini telah menyebabkan impak ekonomi kepada komuniti B40 di negara ini semakin buruk. 

“Pengangguran bertambah dan situasi ini dijangka bertambah buruk sebelum menjadi lebih baik.

“Bersama-sama warga kami di Sunway dan rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kami berharap langkah menggunakan dana pengiklanan untuk membantu membina daya tahan dalam kalangan golongan yang terdedah di bawah situasi mencabar ini akan mengukuhkan kembali semangat perpaduan serta patriotisme yang merentasi garis perkauman dan agama,” katanya dalam kenyataan.

Sejak tahun lalu, lebih daripada 100,000 kilogram makanan telah diagihkan kepada penerima di bawah inisiatif berkenaan.

Bagi projek di Selangor dan Perak, Sunway akan bekerjasama dengan Persatuan Jaringan Pembangunan Manusia Luar Bandar (DHRRA) untuk mengenal pasti kira-kira 1,000 keluarga B40 yang memerlukan bantuan, sebelB40um menghantar barangan dapur dan keperluan asas secara terus kepada mereka.

Sunway juga akan bekerjasama dengan DHRRA dan Adab Youth Garage untuk membeli dan menghantar bekalan keperluan kepada lebih 200 keluarga B40 yang tinggal di sekitar Kuala Lumpur.

Bagi  pasukan Sunway di Pulau Pinang dan Johor akan bekerjasama dengan Kechara Soup Kitchen dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia dalam menyediakan bantuan makanan kepada ratusan keluarga yang hidup di bawah garis kemiskinan.

Antara bekalan keperluan yang disumbangkan adalah beras, garam, susu pekat, minyak masak dan makanan dalam tin seperti sardin dan tuna serta hampir 170,000 uncang kopi, disediakan oleh Super Coffee.

Sehingga kini, Sunway telah memperuntukkan hampir RM60 juta bagi membantu perjuangan menentang pandemik, termasuk menyediakan empat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) secara percuma untuk tempoh sehingga 12 bulan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI