PETALING JAYA – Belum sampai 24 jam cuti Hari Malaysia, warga kota sudah mula ‘mengeluh’ apabila perlu menunggu lebih sebulan sebelum menikmati cuti umum seterusnya.
Perkara itu mendapat perhatian di media sosial selepas seorang pengguna Threads berkongsi tempoh bekerja panjang yang perlu ditempuh selepas cuti umum sempena Hari Malaysia semalam.
Berdasarkan semakan jadual Hari Kelepasan Am 2026, cuti umum seterusnya bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur adalah Deepavali pada 8 November ini.
Ini bermakna warga Kuala Lumpur akan menempuh 52 hari akan datang tanpa cuti umum bermula hari ini sehingga 7 November.
Terdahulu, pengguna Threads, @nieda.hasnida berseloroh mengenai ‘kemarau’ cuti umum menerusi satu hantaran yang meraih perhatian ramai.
“Dengan berakhirnya cuti Hari Malaysia hari ini, maka kita akan menempuh 53 hari tanpa public holiday (cuti umum). Yang mana ada baki AL (cuti tahunan) bolehlah plan (rancang) habiskan,” katanya dalam hantaran semalam
Hantaran tersebut meraih lebih 6,000 tanda suka dan mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial yang berkongsi ‘strategi’ masing-masing untuk menghabiskan baki cuti tahunan.
“Tidak terpakai untuk Kelantan. Kami ada dua hari cuti umum sempena keputeraan Sultan Kelantan hujung bulan ini,” kata seorang pengguna.
“Selangor pun ada cuti satu hari pada Oktober nanti. Itu pun kalau syarikat ambil,” komen pengguna lain.
“Rakyat Malaysia memang suka mengira cuti. Saya suka sebab memang suka cuti,” balas netizen lain pula. – KOSMO! ONLINE
















