fbpx

HSKLU diwartakan semula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan kawasan HSKLU yang ingin dinyahwarta sebelum ini.

SHAH ALAM – Kerajaan negeri akan memulakan proses mewartakan semula Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU).

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, selaras itu
cadangan pelan pembangunan ke atas kawasan tersebut akan dihentikan serta membatalkan pemberimilikan tanah itu kepada syarikat terbabit.

Katanya, bagaimanapun sebanyak 40.2 hektar daripada jumlah keseluruhan 536.6 hektar akan kekal dinyahwartakan.

“Ini bagi melengkapkan pemberimilikan tanah kepada Kampung Orang Asli Busut Baru bagi menyelesaikan isu yang tertangguh sejak tahun 2006.

“Mereka telah dipindahkan dari penempatan asal mereka pada 1994 untuk tujuan pembinaan KLIA,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau memberitahu, kerajaan negeri juga akan mempertimbangkan sebahagian kecil lagi kawasan akan kekal nyahwarta untuk tujuan pertimbangan jajaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Ujar Amirudin, pada masa sama kawasan gantian yang diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal seluas 1,436 ekar di Sungai Panjang, Ampang Pechah dan Bukit Broga akan kekal statusnya sebagai Hutan Simpan Kekal.

“Kerajaan negeri ingin menegaskan bahawa segala proses penyahwartaan sebelum ini telah mengikuti segala prosedur dan tatacara yang dinyatakan mengikut lunas undang-undang.

“Selain itu, kerajaan negeri akan surat kepada Speaker Dewan Negeri Selangor untuk mengadakan sidang Jawatankuasa Pilihan Khas Keupayaan,Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) bagi menjawab sebarang isu-isu yang dibangkitkan berkenaan dengan penyahwartaan sebelum ini,” jelasnya.

Pada sidang Dewan Undangan Negeri baru-baru ini, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian memaklumkan kerajaan negeri telah meluluskan penyahwartaan 536.7 hektar HSKLU pada 5 Mei lalu.

Tindakan nyahwarta itu kemudiannya mendapat bantahan ramai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mahu HSKLU dikekalkan pewartaannya demi kepentingan alam sekitar. -K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI