TEMERLOH – Kerajaan negeri memandang serius masalah yang dihadapi penternak ikan patin sangkar di negeri ini yang menghadapi kesukaran memasarkan ikan akibat pandemik Covid-19.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semantan, Datuk Nor Azmi Mat Ludin berkata, kerajaan negeri sedang berusaha membantu penternak terbabit termasuklah melalui agensi-agensi terlibat.

Menurutnya, beliau telah membangkitkan perkara itu dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini dan ia mendapat perhatian daripada Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi, Datuk Seri Mohd. Soffi Abd. Razak.
“Exco berkenaan telah meminta pihak dan agensi berkenaan mengambil tindakan segera.
“Jadi kita berharap tindakan segera dapat dilakukan agensi terbabit dan saya sendiri sentiasa mengambil tindakan susulan agar nasib penternak yang juga terdiri daripada golongan muda terbela,” katanya kepada Kosmo!.
Nor Azmi memberitahu, ketika ini terdapat kira-kira 200 penternak ikan sangkar direkodkan di daerah Temerloh yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
Katanya, kekurangan permintaan ikan patin secara mendadak akibat pandemik Covid-19 memberi kesan besar kepada penternak yang berhadapan dengan kerugian.
“Walaupun ikan ini tidak dapat dijual, mereka tetap terpaksa memberi makanan kepada ikan-ikan ini, jadi bantuan makanan dan pasaran ikan perlu dilakukan segera bagi membantu mereka,” ujarnya.














