SUNGAI PETANI – Seorang pemuda dari Taman Keladi di sini sepatutnya menjadi sukarelawan dalam urusan pengebumian jenazah pesakit Covid-19, namun impian itu tidak kesampaian apabila dia terlebih dahulu meninggal dunia akibat wabak itu pada Sabtu lalu.
Allahyarham Muhammad Shahrizal Mohd. Faisol, 29, meninggal dunia akibat Covid-19 selepas seminggu menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini.
Ibunya, Rufishah Zakarya, 57, berkata, anak kedua daripada tiga beradik itu menyuarakan hasrat untuk menjadi sukarelawan dengan menyertai Team Hang Cangkul kerana sikapnya yang suka membantu orang.
“Keinginannya itu disuarakan melalui aplikasi kumpulan WhatsApp keluarga kami pada pagi Ahad, 29 Ogos lalu sebelum dia disahkan positif Covid-19 pada hari sama.
“Arwah yang dikuarantin di rumah mengadu sesak nafas tiga hari kemudian sebelum menerima rawatan di HSAH tetapi meninggal dunia pada pukul 9 malam, Sabtu lalu tanpa sempat memenuhi keinginannya untuk bergelar sukarelawan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.
Muhammad Shahrizal mempunyai seorang abang, Muhammad Firdaus, 33, dan adik, Muhammad Safinas, 27.
Menurut Rufishah, sikap Muhammad Shahrizal gemar menolong orang diwarisi daripada arwah suaminya, Mohd. Faisol Ishak yang meninggal dunia 11 tahun lalu.
“Arwah sebelum ini terlibat dengan banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk dengan Group Khalifah di tempat kerjanya di sebuah syarikat insurans di sini.
“Dia juga selalu membantu gelandangan, menjadi sukarelawan kepada mangsa banjir dan terbaru ingin menjadi sebahagian daripada kumpulan
mengurus jenazah Covid-19 di daerah ini,” katanya.Jenazah Muhammad Shahrizal dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudatul Mawardah oleh Team Hang Cangkul sendiri petang Sabtu lalu.
















