fbpx

Penyanyi Girls Aloud, Sarah Harding, meninggal dunia kerana kanser

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SARAH HARDING

PETALING JAYA – Penyanyi kumpulan Girls Aloud, Sarah Harding meninggal dunia pada Ahad di rumahnya pada usia 39 tahun kerana penyakit kanser payudara.

Berita sedih tersebut diumumkan oleh ibunya, Marie menerusi Instagram.

“Dukacitanya saya mahu berkongsi berita tentang anak perempuan saya Sarah yang telah meninggal dunia.

“Ramai yang tahu Sarah berlawan dengan penyakit kanser dan dia lawan dengan kuat sehingga ke hari terakhirnya. Dia pergi dengan tenang,” tulis ibunya, Maria dalam akaun Instagram Sarah.

Terdahulu pada Mac lalu, Sarah mendedahkan doktor memberitahu bahawa dia tidak akan dapat menyaksikan sambutan Krismas yang seterusnya.

“Pada Disember, doktor yang merawat saya memberitahu ini adalah sambutan Krismas saya yang terakhir.

“Saya cuba untuk menikmati setiap saat kehidupan saya selama yang boleh,” kata Sarah.

Meskipun sedar peluang untuk sembuh adalah tipis, Sarah menjelaskan dia mahu melewati kehidupannya dengan selesa dan bebas daripada rasa sakit.

Sarah didiagnosis dengan penyakit kanser payudara pada 2019 selepas dia mengesan ketulan di bawah lengannya.

Dalam buku autobiografinya yang berjudul Hear Me Out, Sarah menulis tentang pengalamannya mendapatkan pandangan doktor tentang penyakitnya.

Biarpun doktor menasihatkannya untuk menjalani pemeriksaan lanjut seperti menjalani ujian imbasan MRI, namun rawatannya berjalan agak perlahan disebabkan pandemik Covid-19.

“Covid-19 menyerang dan semuanya bergerak dengan sangat perlahan dan akhirnya berhenti.

“Saya sedar yang saya perlu menyelesaikan isu masalah kesihatan ini dengan segera, tetapi dengan apa yang berlaku (Covid-19) semuanya menjadi amat sukar,” kata Sarah tentang rawatan kanser panyudaranya.

Tambah Sarah, kesalahannya adalah berada dalam fasa penafian tentang penyakitnya dalam tempoh yang agak lama. Namun, Sarah mula tersedar dan melawan penyakitnya selepas kesakitan yang dirasai bertambah teruk.

Semasa hayatnya, Sarah bersama Kimberley Walsh, Nicola Roberts, Cheryl Tweedy dan Nadine Coyle telah mencipta rekod apabila kumpulan Girls Aloud menjadi kumpulan wanita Britain yang paling laris pada abad ke-21 dengan 4.3 juta single dan empat juta unit album terjual. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI