fbpx

‘Jauhi diskriminasi minda, hormati ketentuan jodoh’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RAMONA ZAM ZAM

JANGAN persoalkan jodoh orang lain! Potongan ayat tersebut berulang kali ditegaskan si cantik Ramona Zamzam tatkala berbicara mengenai isu perkahwinan dengan warga asing yang baru-baru ini membanjiri platform media sosial.

Awalnya perbualan penulis dengan pelakon drama Love Elsa itu hanyalah perihal berkaitan kehidupannya sepanjang tempoh pandemik.

Namun klimaks penceritaan antara kami bertukar apabila tanpa sengaja timbul isu perkahwinan wanita tempatan dengan lelaki warga asing yang tular sehingga mendapat pelbagai reaksi ramai sejak akhir-akhir ini.

Berhenti mengata

“Terima kasih kerana tanya saya tentang isu ini sebab banyak perkara saya hendak kongsikan kepada semua,” katanya ketika dihubungi Pose.

Akui Ramona, dia kurang mengerti mengapa masih wujud skeptikal atau diskriminasi minda terhadap mana-mana individu yang memilih warga asing sebagai pasangan hidup.

“Saya tidak faham kenapa masih wujud mentaliti sedemikian dalam masyarakat kita. Mengapa sukar sangat hendak beri sedikit rasa hormat terhadap pasangan kahwin campur?

“Contoh dalam kisah saya. Saya tak pernah sasar untuk mengahwini lelaki warga asing tetapi akhirnya, lihat saya sekarang,” tutur pemilik nama penuh Ros Ramona Qadira Mohd Zamzam itu.

MESKIPUN sudah mendirikan rumah tangga selama enam tahun, Ramona mengakui hatinya pasti tersentuh apabila tidak dapat bersama-sama suaminya keluar membeli barangan keperluan. – Foto ihsan EH! Malaysia, Raisa Azzam (IG @raisasphotography)

Wanita yang mendirikan rumah tangga dengan jejaka dari Palestin, Rami Alashkar sejak enam tahun lalu itu juga berasa sedih melihat masih ada pihak memandang sinis terhadap segelintir wanita yang memilih jalan hidup bersama lelaki warga asing.

“Saya pernah ingatkan kawan-kawan, jika tak suka mana-mana lelaki, tolong jangan sebut kerana perkara itu akan berbalik kepada diri sendiri.

“Itu amaran daripada kerana saya pernah cakap ‘aku takkan kahwin dengan orang Arab’.

“Bukan nak buka aib sendiri tetapi ini mungkin boleh beri kesedaran atau buka mata semua pihak lain. Siapa kita nak persoalkan jodoh ketentuan Allah,” katanya.

Paling terkilan, Ramona mengakui kesal apabila membaca komen-komen dalam media sosial sehingga mengaitkan cerita ‘dalam kain’ mana-mana pasangan.

Ujar bekas peserta Dewi Remaja 2009/10, masyarakat hanya melihat secara luaran tetapi manisnya perkahwinan campur hanya mereka yang lalui sahaja merasainya.

IBU kepada seorang cahaya mata perempuan itu mengakui kisah pemergian Allahyarham Siti Sarah turut mempengaruhi kerisauannya untuk hamil ketika musim pandemik. – Foto ihsan EH! Malaysia, Raisa Azzam (IG @raisasphotography)

“Tolonglah jangan ada lagi golongan yang mempertikaikan jodoh seseorang, tidak kiralah kahwin dengan warga tempatan atau warga asing sekali pun.

“Jangan mengata kerana mungkin akan jadi kepada diri atau keluarga sendiri. Saya penat dan sedih apabila membaca tentang isu ini.

“Kadang-kadang saya terfikir, memang kena kahwin dengan lelaki Melayu sahajakah atau dunia ini memang ada bangsa Melayu sahaja?” selorohnya sebelum tergelak kecil.

RAMONA mengakui terkilan apabila masih terdapat segelintir masyarakat negara ini yang skeptikal dan menganggap perkahwinan campur satu kesalahan besar. – Foto ihsan EH! Malaysia, Raisa Azzam (IG @raisasphotography)

Tambah zuriat

Rancak bercerita mengenai suami, Ramona terdetik berkisah tentang perancangan untuk menambah cahaya mata, namun terpaksa menangguh seketika hasrat tersebut masa ini.

Bukan berniat untuk menidakkan ketentuan Tuhan tetapi situasi pandemik sebenarnya membiakkan kegusaran dalam hatinya.

“Ikut perbincangan bersama suami, kami ingin memang menambah zuriat pada tahun ini tetapi apabila melihat situasi semasa, rasa tidak berani pula. Covid-19 memang ganggu habis rancangan saya.

“Bukan hendak menolak rezeki atau takdir tetapi kena fikir juga risiko untuk si ibu dan bayi dalam kandungan,” ujar ibu kepada Ivanna Alashkar yang kini berusia tiga tahun.

Tambah pelakon filem Jengka itu, hasrat untuk menambah cahaya mata akan diteruskan sekiranya situasi semasa pandemik menunjukkan penurunan yang diyakini.

“Insya-Allah niat untuk memberi adik kepada Ivanna masih ada cuma tunggu kes turun dulu barulah boleh fikir tentang hal perancangan masa depan,” getusnya.

BIARPUN PKP, anak kelahiran Pulau Pinang itu tetap sibuk dengan kerja-kerja kempen promosi produk secara dalam talian. – Foto ihsan EH! Malaysia, Raisa Azzam (IG @raisasphotography)

Letih dengan pandemik

Masih tentang pandemik, Ramona juga melalui situasi yang sama seperti anak seni lain apabila banyak kerja dan penggambaran terpaksa ditangguh.

Jiwanya seperti memberontak setiap kali memikirkan situasi pandemik yang seperti tiada titik noktah.

“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Jun lalu, jiwa saya sangat letih dan tepu, lebih lebih lagi saya seorang ekstrovert. Bila dikurung berkali-kali, saya jadi marah.

“Jadi, untuk lepaskan kemarahan dan tenaga yang terperuk, saya sertai kelas senaman yang agak lasak.

“Sekurang-kurangnya saya berjaya juga merancakkan aliran darah dalam badan.

“Selain itu, saya juga kerap pujuk diri dan hati tentang PKP ini dengan berkata tak mengapa, ini peluang untuk bersama keluarga dan berehat,” kata teraju utama telefilem Ibu Belum Mati itu semasa menutup perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI