fbpx

Kerajaan pantau dua rakyat Malaysia di Teluk Cuba

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Datuk Saifuddin Abdullah (tiga dari kiri) menghadiri taklimat serta menyampaikan cenderahati kepada petugas kesihatan di Pejabat Kesihatan Daerah Kuantan, hari ini.

KUANTAN -Kerajaan melalui Kementerian Luar memantau perkembangan pertuduhan dua rakyat negara ini yang didakwa di Mahkamah Pangkalan Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) di Teluk Guantanamo, Cuba.

Menteri Luarnya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pihaknya sentiasa mengikuti perkembangan perbicaraan membabitkan Mohammed Nazir Lep dan Mohammaed Farik Amin sejak didakwa pada 30 Ogos lalu.

“Kita meneliti segala perkembangan berkaitan mereka,” katanya selepas menghadiri taklimat dan penyerahan cenderahati kepada petugas kesihatan di Pejabat Kesihatan Daerah Kuantan, di sini hari ini.

Beliau mengulas perkembangan dua rakyat Malaysia yang dihadapkan ke Mahkamah Pangkalan Tentera Laut Amerika Syarikat berhubung insiden pengeboman mati di Bali, Indonesia, 19 tahun lalu.

Kedua-dua suspek sebelum ini ditahan di kem tahanan Teluk Guantanamo sejak 2006 bersama seorang rakyat Indonesia, Encep Nurjaman yang juga dikenali sebagai Hambali.

Menurut Pejabat Suruhanjaya Tentera AS, tiga suspek itu sepatutnya dihadapkan ke mahkamah itu pada Februari lalu, namun perbicaraan terpaksa ditangguhkan akibat Covid-19.

Sementara itu, mengulas bantuan yang diberikan Parlimen Indera Mahkota dari Mac 2020 hingga Ogos lalu, Saifuddin berkata, sejumlah RM1.85 juta dibelanjakan untuk membantu golongan yang terkesan akibat pandemik Covid-19 di parlimen berkenaan.

Katanya, jumlah perbelanjaan itu membabitkan pemberian bakul makanan, beras, gula, lampin bayi, pelitup muka, pelindung muka, susu bayi, lampin dewasa dan cecair pensanitasi tangan.

“Bantuan tertinggi ialah pemberian 20,565 bakul, pelitup muka dan cecair sanitasi tangan, masing-masing 8,200 unit dan 1,500 pelindung muka.

“Peruntukan itu bukan sahaja daripada program Bakul Prihatin Negara, malah sumber daripada Pejabat Ahli Parlimen Indera Mahkota, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu yang turut sama menghulurkan sumbangan,”ujarnya. -K! ONLINE.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI