PETALING JAYA – Sudahlah tidak mahu ambil pelali, golongan antivaksin Covid-19 sanggup menawarkan sejumlah wang kepada sebahagian petugas kesihatan untuk mendapatkan sijil imunisasi digital supaya bebas ke sana ke mari.
Sumber berkata, golongan ini menjadikan doktor di klinik swasta sebagai tempat untuk mereka mendapatkan sijil vaksinasi palsu dengan menawarkan rasuah tanpa perlu mengambil pelalian yang disarankan oleh kerajaan.
Katanya, mereka bukanlah orang kampung, bahkan tinggal di bandar serta berpendidikan, namun terpedaya dengan dakyah palsu mengenai keburukan vaksin dan percaya ia hanya propaganda.
“Mereka terdesak apabila kerajaan mengumumkan kelebihan yang boleh dilakukan kepada mereka yang lengkap dua dos vaksin.
“Jadi, mereka risau kehilangan kerja dan tidak dibenarkan untuk memasuki mana-mana premis yang mahu melihat sijil vaksinasi digital,” katanya kepada Kosmo!.
Tambahnya, mereka juga mahu merentas daerah dan makan di restoran selepas kerajaan memberi kelonggaran kepada penerima dua dos vaksin berbuat demikian.
Menurut sumber itu, tawaran tersebut dibuat oleh seorang wanita berusia dalam lingkungan 40-an apabila dia cuba membeli sijil berkenaan daripada seorang doktor klinik swasta di Rawang bagi tujuan perkahwinan anak perempuannya.
“Wanita itu berpura-pura bertanya mengenai ujian calitan sebelum membuka mulut untuk membeli sijil digital itu bagi tujuan perkahwinan anak perempuannya dan membolehkan dia kembali ke pejabat.
“Mereka tidak mahu ambil vaksin dengan alasan ada yang mati selepas disuntik. Dia tetap berkeras tidak mahu disuntik walaupun dipujuk,” katanya.

Tambah sumber, semakan mendapati orang yang dikatakan meninggal dunia akibat vaksin itu menghidap penyakit tiroid dan mungkin menjadi lebih teruk selepas disuntik.
Menurut sumber, ada juga kes kakitangan kesihatan menerima tawaran wang daripada seorang lelaki ketika menjalankan tugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mines International Exhibition and Convention Centre, Seri Kembangan baru-baru ini.
“Dia enggan divaksin kerana beranggapan ia mengandungi lemak babi. Perkara ini amat dikesalkan kerana ramai mudah terpengaruh dengan dakwaan sedemikian,” katanya.
Sementara itu, jelas sumber, seorang doktor di Kota Bharu, Kelantan pernah ditawarkan RM2,000 oleh individu tertentu untuk membeli sijil tersebut.
“Dia tidak mahu disuntik walaupun tahu ia percuma. Dia mendakwa sijil lebih penting kerana ia sebagai pasport untuknya bergerak bebas selepas kerajaan memberikan kelonggaran kepada individu yang lengkap dua dos,” katanya.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan individu yang telah menerima vaksinasi lengkap diberi kelonggaran untuk aktiviti rentas daerah dan negeri termasuk solat berjemaah di masjid dan surau serta dine-in di restoran.
Kemudahan itu terbahagi kepada dua iaitu semua fasa dalam Pelan Pemulihan Negara dan kepada negeri yang berada di fasa dua dan seterusnya.
Golongan antivaksin bahayakan nyawa
PETALING JAYA – Golongan tiada sijil vaksinasi digital kerana enggan mengambil imunisasi Covid-19 tidak layak diberi hak seperti individu yang telah menerima suntikan tersebut.
Tindakan golongan itu ternyata mengundang kekecewaan kerana selain membahayakan nyawa orang lain, mereka juga boleh mencapai tahap serius jika dijangkiti virus itu.
Seorang pengguna Twitter, @Emi_Masdor mencadangkan agar golongan antivaksin dilarang melakukan aktiviti seperti yang dibenarkan kepada penerima dos suntikan.
“Jangan fikir mereka sahaja ada hak, kami yang divaksin pun sama,” ciapnya semalam.
Bagi @kisheyem pula, golongan antivaksin merupakan kelompok yang tidak berfikir panjang.
“Ia bukan tentang hak tetapi untuk kesejahteraan semua pihak. Kalau tak ambil suntikan, kita membahayakan orang lain,” katanya.
Sementara itu, seorang pekerja barisan hadapan melalui satu video di laman sosial menasihati orang ramai supaya tidak berkongsi sijil yang sudah diterima di media sosial.
“Jangan muat naik sijil digital anda dekat Whatsapp, Facebook, Twitter atau Instagram. Bila buat macam itu, awak dah bagi peluang kepada golongan-golongan antivaksin curi sijil awak.
“Walaupun dah tutup nama dan nombor pada kad pengenalan, mereka tetap boleh memanipulasi maklumat itu,” katanya.
Tambahnya lagi, kini terdapat bermacam kaedah golongan antivaksin untuk mendapatkan sijil digital seperti meminta daripada penerima yang sudah lengkap dua dos. -K! ONLINE















