fbpx

Fenomena garis badai bawa hujan lebat pada awal pagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Negara kini berada dalam Monsun Barat Daya dengan angin lazimnya bertiup konsisten dari arah barat daya dengan kelembapan udara lebih rendah yang dijangka berlanjutan sehingga hujung September ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berkata, keadaan atmosfera yang lebih stabil menyebabkan kurangnya pembentukan awan sepanjang tempoh berkenaan.

“Secara klimatologinya kebanyakan tempat di seluruh negara akan mengalami bilangan hari tanpa hujan lebih banyak daripada bilangan hari hujan sekali gus menyebabkan taburan hujan secara relatifnya lebih rendah.

“Bagaimanapun, hujan lebat beserta angin kencang dan petir berikutan fenomena garis badai masih boleh berlaku di pantai barat Semenanjung dan barat Sabah pada awal pagi,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Menurutnya, garis badai merupakan garisan ribut petir yang terbentuk akibat penumpuan angin dan boleh berlarutan sehingga beberapa jam.

Katanya, pada bulan ini kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia dijangka menerima hujan pada paras purata antara 100 milimeter (mm) hingga 350mm kecuali Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan sebahagian Perak diramal menerima hujan sedikit melebihi paras purata iaitu sekitar 200mm hingga 450mm.

Dalam pada itu, di Sarawak iaitu Miri dan Limbang dijangka menerima hujan sedikit melebihi purata iaitu antara 250mm hingga 350mm manakala bahagian lain dijangka menerima hujan pada paras purata antara 200mm hingga 350mm.

“Manakala di Sabah iaitu bahagian pantai barat, pedalaman dan Wilayah Persekutuan Labuan dijangka menerima hujan sedikit melebihi purata iaitu antara 150mm hingga 500mm.

“Sementara di bahagian Tawau dijangka menerima hujan sedikit di bawah purata iaitu antara 100 mm hingga 120mm dengan bahagian lain dijangka menerima hujan pada paras purata iaitu 100 mm hingga 300 mm,” katanya. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI