fbpx

‘Drama’ belajar memasak dengan Paris Hilton

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PROGRAM Cooking With Paris sudah mula menemui penonton menerusi Netflix sejak 4 Ogos lalu.

“That’s hot!” Itu antara frasa signatur sosialit terkemuka dunia, Paris Hilton atau nama lengkapnya, Paris Whitney Hilton.

Buat khalayak yang sentiasa mengikuti perkembangan kerjaya Paris, ada sebuah rancangan masakan yang sedang hangat berjudul Cooking With Paris siaran Netflix.

Apa yang akan terjadi sekiranya Paris mengajar orang ramai ilmu kulinari dan mereka yang menjadi tetamu jemputannya dalam program masakan tersebut juga datang daripada golongan ternama dunia?

Jawapannya, kelam-kabut, penuh dengan lelucon serta kemewahan yang tidak terhingga.

Ketam ajar anak berjalan

Menariknya, Cooking With Paris seolah-olah memaparkan Paris, 41, cuba mengajar penonton dengan ilmu yang tidak lengkap di dadanya.

Kita semua tahu berapa mewahnya kehidupan model cantik itu. Barangkali, kebanyakan masa, semua yang ditonjolkan kepada dunia sudah terbentang di depan matanya dengan menggunakan kuasa wang.

Jadi, apabila muncul dengan sebuah program masakan, Paris seperti ketam mengajar anaknya berjalan. Peribahasa tersebut memang langsung tidak bertentangan dengan segala tindak-tanduk Paris.

SEGALA resipi tak masuk akal yang digunakan dalam Cooking With Paris diambil daripada sebuah buku berwarna pink tulisan Paris sendiri.

Dia sememangnya tidak pandai memasak dan kalau ada pun resipi yang dikongsikannya, itu semua barangkali sudah disediakan awal kepadanya dalam bentuk skrip.

Bagaimanapun, juallah apa sahaja ‘buah tangan’ daripada orang popular, memang akan menjadi sebutan dan mendapat sambutan waima apa yang dikongsikan bersifat dungu dan tidak mempunyai nilai kualiti.

Memiliki enam episod, setiap satunya terisi dengan kehadiran tetamu jemputan yang berbeza-beza. Episod pertama menyaksikan kemunculan Kim Kardashian. Seorang modul kecantikan yang berstatus rakan baik kepada Paris, namun dari kaca mata dunia, dia jugalah yang bertanggungjawab membuatkan orang lupa tentang keberadaan Paris dalam dunia glamor.

Kalau kalian pengikut budaya pop, kalian akan cakna bahawa sebelum Kim menggenggam dunia dengan pengaruhnya, Paris terlebih dahulu duduk di takhta tersebut, namun akhirnya dirampas Kim.

Persahabatan Kim dan Paris tidak pernah diganggu oleh permasalahan tersebut. Buktinya, Kim merupakan tetamu pertama yang dijemput ‘merasmikan’ rancangan berkenaan.

Kim Kardashian

Ironinya juga, Kim sepertinya menunjukkan atau memberi mesej kepada penonton tentang bagaimana kehidupannya yang sebenarnya, lebih indah dan sempurna berbanding rakan baiknya itu.

Kim masih relevan sehingga kini biarpun pernah berkahwin dan mempunyai beberapa orang cahaya mata, sedangkan Paris pula masih mencari-cari ruang dan peluang untuk berjabat tangan dengan kebahagiaan hidup.

Ilmu kulinari? Kim ternyata lebih hebat berbanding Paris.

Kim Kardashian menjadi tetamu pertama dalam program Cooking With Paris.

Tidak pasti sama ada memang disengajakan atau sebaliknya tetapi satu hal yang dapat diterjemah selepas menonton episod sulung berkenaan, Kim ‘overshadow’ Paris walaupun ada yang mengatakan, penonton terhibur dengan gelagat mereka.

Pada masa sama, penulis enggan menidakkan pengaruh Paris yang cukup terkenal dengan frasa signaturnya seperti ‘sliving’ (cantuman perkataan slaying dan living).

Dia mempunyai karakter yang tersendiri, namun ada ketikanya seperti dibuat-buat sedangkan kita semua tahu, apabila kamera ‘rolling’, dia bukan seperti yang digambarkan kepada dunia.

Selain Kim, Paris turut menjemput bintang ternama seperti Saweetie, Demi Lovato, Nikki Glaser dan termasuk ibu dan adiknya, Kathy dan Nicky sebagai tetamu jemputan dalam enam episod yang berbeza.

Di situ, sempatlah Paris mengajar penonton menyediakan juadah terkenal dunia seperti taco, burger dan kentang serta masakan Itali. Tinggal lagi, jika mahu belajar memasak, program bukan jawapannya. Cooking with Paris sekadar suka-suka yang mungkin demi kepuasan Paris atau sekadar menebalkan poketnya yang sudah sedia menebal.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI