fbpx

Pastikan tiada penangguhan lagi – Hakim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid hadir di Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini. Foto ZULFADHLI ZAKI

SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan prosiding perbicaraan 40 kes rasuah Sistem Visa Luar Negara (VLN) dihadapi bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi disambung semula selama sembilan hari bermula 28 September depan.

Hakim Datuk Mohd. Yazid Mustafa menetapkan tarikh berkenaan selepas dipersetujui pihak pendakwaan dan pembelaan.

Penetapan itu juga selepas mahkamah membenarkan penangguhan perbicaraan yang sepatutnya dijalankan hari dan esok dilapangkan kerana Ahmad Zahid masih dalam cuti sakit.

“Mahkamah menerima permohonan untuk menangguhkan perbicaraan daripada pihak pembelaan pada 23 Ogos lalu beserta sijil cuti sakit.

“Ini disertakan dengan pengesahan doktor pakar dari Avisena Specialist Hospital, Shah Alam, Dr. Mohd. Shahir Anuar, ketika prosiding kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, minggu lalu.

“Isu sama ada klinik swasta atau kerajaan terjawab apabila doktor pakar itu hadir dengan isu kesihatan dikemukakan disahkan doktor itu sendiri di mahkamah,” kata Mohd. Yazid.

Justeru, Mohd. Yazid menetapkan perbicaraan diteruskan pada 28 September, 22 Oktober, 18 dan 19 November serta 20 hingga 24 Disember depan.

“Pastikan pada tarikh itu kes berjalan seperti biasa dan penangguhan adalah tidak dibenarkan,” katanya.

Ahmad Zahid sebelum ini didakwa atas 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SGD13.56 juta sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri melanjutkan kontrak sebuah syarikat sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan Sistem VLN.

Dia juga didakwa mendapat untuk dirinya suatu benda berharga iaitu wang tunai SGD1,150,000, RM3,000,000, EURO15,000 dan USD15,000 tanpa balasan daripada syarikat sama yang mempunyai hubungan dengan kerja rasminya. -K!ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI